Selasa, 26 Mac 2013

SoLaT iTu TiAng AgAmA



SOLAT merupakan tiang ibadah yang mana setiap umat Islam wajib melakukannya tidak kira sama ada individu tersebut berada dalam keadaan kesusahan atau sebaliknya. Sehubungan itu, ALLAH Subhanahu wa Ta’ala menurun tuntutan rukhsah bagi memudahkan umat Islam menunaikan ibadat dalam apa jua keadaan sekalipun.

Bahkan bukan sahaja rukhsah, tetapi juga daripada segi kekuatan solat itu sendiri yang mempunyai kekuatan dan pelbagai rahsia dalaman yang pelaku menunaikannya mengetahui tuntutan syariat tersebut.

Sebuah buku bertajuk Mind, Body Health Psyconeuroimmunologist menyatakan, penyakit yang dideritai oleh manusia semuanya berpunca daripada kelemahan dalaman seorang manusia. Ia mendedahkan fungsi dalaman manusia yang akan memberi kesan kepada fizikal seseorang manusia.

Menurut buku itu lagi, kekuatan spiritual atau kerohanian lahir daripada amalan rohani atau agama, maka ia merupakan penjaga hati nurani termasuk penguat dalaman yang lain.

Sehubungan itu, penulis dan perunding motivasi, Zul Ramli M. Razali berkata, punca utama berlaku masalah sosial dalam kalangan generasi muda masa kini adalah disebabkan oleh penghayatan objektif solat maka dengan disebabkan masalah tersebut menyebabkan kualiti solat merudum.

Jelas Zul Ramli, solat merupakan penyerahan sepenuhnya seorang insan kepada ALLAH Subhanahu wa Ta’ala  bermula gerakan takbir, cara berdiri, ungkapan surah al-Fatihah, rukuk, dua antara sujud, sujud dan diakhiri dengan salam, kesemuanya bermaksud penyerahan diri kepada ALLAH Subhanahu wa Ta’ala.

"Ini menghasilkan seseorang insan yang merdeka sepenuh jiwa raga, dia tidak tunduk kepada manusia dan tidak gentar kepada sebarang ancaman. Semua ini melambangkan keperibadian yang tinggi dan sejati.

"Solat mampu membina manusia yang berpaksi kepada kebenaran. Mereka tunduk kepada ALLAH Subhanahu wa Ta’ala sahaja dan tidak selain daripadanya. Berdiri qiam, rukuk dan sujud menjana tundukkan hanya kepada ALLAH Subhanahu wa Ta’ala  Hawa nafsu turut tunduk daripada hati yang khusyuk," jelas Zul Ramli ketika ditemui selepas Bengkel Kuasa Minda: Ubah Sikap Melalui Solat anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini.

Roh Ibadat Ketika Musafir
Rata-rata peserta Bengkel Kuasa Minda: Ubah Sikap Melalui Solat masih tidak mengetahui sepenuhnya berkenaan rukhsah solat ketika musafir iaitu solat jamak dan qasar. Kebanyakan mereka bertanyakan soalan bagaimana hendak melakukannya, cara melakukan dan sebagainya.

Sebelum itu, Zul Ramli menjelaskan bahawa rukhsah solat ialah kemudahan, kelonggaran atau keringanan yang diberikan oleh ALLAH Subhanahu wa Ta’ala kepada umat Islam dalam melakukan solat di atas tiga sebab itu, musafir, uzur atau sakit dan ketika peperangan.

Tambah beliau, ramai tidak mengetahui bahawa menurut mazhab syarie, keperluan rukhsah solat musafir adalah harus yang di mana ALLAH Subhanahu wa Ta’ala memberi kemudahan kepada orang sedang bermusafir untuk melakukan solat fardu dengan cara qasar atau jamak atau kedua-duanya sekali.

"Di mana kita berada dan dalam keadaan apa sekalipun, solat dituntut dilakukan dengan melakukan kemudahan seperti mana diperintahkan oleh ALLAH Subhanahu wa Ta’ala  Di samping membuktikan bahawa agama Islam mengambil kira kebajikan umat dan bukanlah agama yang menyusahkan. Berbeza mazhab Abu Hanifah yang mewajibkan rukhsah solat.

"Syarat dibenarkan kepada musafir melakukan solat qasar atau jamak iaitu musafir adalah untuk tujuan yang baik, bukan untuk melakukan maksiat, destinasi yang dituju melalui tidak kurang dua marhalah bersamaan lebih kurang 90 kilometer dan mengetahui destinasi yang hendak ditujui," jelas beliau.

Beliau terdahulu menjelaskan definisi bermastautin dan bermukim:
Bermukim: orang yang tinggal di satu-satu tempat lebih daripada tiga hari. Dia tidak berniat untuk kekal selama-lamanya di situ.

Bermastautin: orang yang tinggal di satu-satu tempat dan tiada ada niat untuk berpindah ke tempat lain walaupun dia lahir di tempat lain.

Hujah itu bermaksud orang yang bermukim diwajibkan solat Jumaat tetapi tidak dikira dalam 40 orang yang menjadi syarat sah bilangan solat Jumaat. Sebaliknya, orang yang bermastautin diwajibkan dan dikira dalam 40 orang makmum jemaah solat Jumaat.

Zul Ramli memberitahu, rukhsah solat itu yang terbahagi kepada dua iaitu, qasar dan jamak, manakala jamak pula dibahagikan kepada dua iaitu takhir dan takdim.

Solat Qasar ialah memendekkan solat empat rakaat kepada dua rakaat. Solat yang boleh diqasarkan ialah Zuhur, Asar dan Isyak.

Solat Jamak ialah menghimpunkan dua solat fardu dalam satu waktu dengan syarat-syarat tertentu. Solat jamak adalah terdiri daripada Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak. Ia juga terbahagi kepada dua iaitu:

Jamak takdim ialah menghimpunkan dua solat fardu dalam waktu pertama. Contohnya menghimpunkan solat Zuhur dan Asar dan menunaikannya dalam waktu Zuhur.

Jamak takhir ialah menghimpunkan dua solat fardu dalam waktu kedua. Contohnya menghimpunkan solat Zuhur dan Asar dan menunaikannya dalam waktu Asar.

Dalam pada itu, Zul Ramli menjelaskan kekeliruan berhubungan rukhsah ketika solat Jumaat. Ujar beliau, jika orang musafir keluar menuju ke destinasi sebelum waktu Subuh, mereka tidak diwajibkan menunaikan solat Jumaat. Sebaliknya sekiranya keluar selepas waktu Subuh, mereka diwajibkan solat jumaat.

"Selain itu, waktu musafir dalam selama tiga hari tetapi waktu pergi dan balik tidak dikira. Contohnya dia keluar pada hari pertama dan balik pada hari kelima maka mendapat kemudahan rukhsah," kata Zul Ramli.

 http://www.utusan.com.my/utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SIFAT KEMURAHAN ALLAH

D i antara nama dan sifat Allah SWT adalah “Rahman”, “Rahim”, "Hannan", "Mannan", "Kareem" yang menunjukkan pa...