Ahad, 24 November 2013

TIGA Perkara Perlu Imbangi Kehidupan

3 perkara perlu imbangi kehidupan - epondok -Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Gambar hiasan
Islam memandang kehidupan dunia dan akhirat saling melengkapi, tidak boleh tenggelam dalam bayangan materialisme dan juga terlena dalam keasyikan kerohanian.

Dalam erti kata lain, umat Islam dituntut untuk meraih material duniawi, tetapi dalam masa yang sama mempunyai nilai ukhrawi. Oleh kerana itu, Islam menjadikan umatnya sebagai umat pertengahan atau ummatan wasathan.

Antara istilah yang mempunyai pengertian yang sama dengan wasatiyyah adalah al-tawaazun iaitu keseimbangan dan al-’adlu yang bererti keadilan. Pertengahan menunjukkan keseimbangan, sekali gus keadilan.

Islam memandang kehidupan dunia dan akhirat saling melengkapi, tidak boleh tenggelam dalam bayangan materialisme dan juga terlena dalam keasyikan kerohanian.

Sabda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tengah-tengah itu adalah adil. Kami jadikan kamu satu umat yang tengah-tengah (terbaik)”. (Riwayat Tirmizi dan Ahmad).

Al-Tawaazun atau al-Mizan adalah prinsip keseimbangan ajaran Islam. Alam semesta dan manusia diciptakan dengan hukum keseimbangan sebagai mana ditegaskan Allah SWT lewat firman-Nya yang bermaksud: “Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?” (Surah al-Mulk, ayat 3)

Justeru, Allah SWT menurunkan petunjuk baik dalam ayat Qouliyah (al-Qur’an) mahupun ayat Kauniyah (alam semesta) yang memuatkan hukum keseimbangan ini (al-Mizan).

Oleh itu, jika manusia ingin hidup tenang, berjaya dan bahagia, dia mesti tunduk dan patuh kepada hukum keseimbangan.
Timbul persoalan mengapa hidup manusia sering kali dilanda kesusahan, sentiasa dikejar hutang keliling pinggang, diuji dengan kesakitan dan diduga dengan masalah konflik keluarga?

Boleh jadi jawapan yang tepat bagi semua musibah yang melanda adalah kerana manusia masih belum mampu menjaga keseimbangan yang ditetapkan.

Ada tiga perkara yang harus diseimbangkan dalam kehidupan manusia. Pertama ialah keinginan. Dalam Islam, keinginan disebut dengan istilah al-hawa an-nafs iaitu hawa nafsu yang bermaksud keinginan diri sendiri.

Imam al-Gazali pernah berpesan bahawa yang paling besar di bumi ini bukan gunung dan lautan, melainkan hawa nafsu yang jika gagal dikendalikan, maka kita akan menjadi penghuni neraka.

Hawa nafsu selalu mendorong manusia kepada keburukan dan kejahatan kecuali yang dirahmati Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Yusuf, ayat 53).

Jika manusia mengikuti hawa nafsu, maka dia mempertuhankan diri sendirinya dan sanggup melakukan apa saja bahkan lebih bejat daripada binatang.

Pendek kata, keinginan akan mengakibatkan kesusahan kepada manusia. Jika dia telah mendapat sesuatu hajat, maka dia akan mempunyai keinginan untuk memiliki tambahan yang lain lagi.

Sebagai contoh, dalam bab makanan, apa saja yang terhidang akan dimakan semahu-mahunya dan akhirnya akan menyebabkan pembaziran. Ringkasnya, tidak ada satu pun pekerjaan yang didasari hawa nafsu yang menghasilkan kebaikan, sebaliknya ia akan berakhir dengan kegagalan.

Perkara kedua ialah keperluan. Dalam Islam, ia lebih dikenali dengan istilah al-hajah. Islam tidak pernah menyuruh umatnya supaya membunuh hawa nafsu, sebaliknya dituntut untuk mengasuh, mengawal dan mengendalikannya. Tidak ada kehidupan jika tidak ada keinginan terhadap seks, harta, wanita, kuasa dan lain-lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (Surah Ali Imran, ayat 14)

Selanjutnya, salah satu wahana yang boleh menyeimbangkan keinginan adalah keperluan. Apakah kita perlu terhadap apa yang kita inginkan? Keperluan lebih kecil daripada keinginan.

Perlu disedari bahawa keinginan untuk meraih sesuatu melalaikan kita pada hak tubuh badan, keluarga, jiran tetangga dan masyarakat. Tubuh badan kita juga berhak untuk beristirehat dan perlukan makanan yang seimbang, isteri dan anak.

Dalam ibadat pun, Rasulullah SAW melarang sifat keterlaluan dan berlebihan. Baginda SAW berpuasa dan berbuka, bertahajud dan tidur serta mengahwini wanita. Ringkasnya, malam untuk beristirehat dan siang pula masa bekerja. Jika keinginan tidak seimbang dengan keperluan, maka akan terjadi ketidakseimbangan individu, sosial dan spiritual.

Perkara ketiga ialah kemampuan. Dalam Islam, ia disebut dengan istitha’ah. Jika keinginan boleh diseimbangkan dengan keperluan, maka lagu dan irama akan berjalan seiringan. Tetapi, keperluan bersifat subjektif.

Oleh kerana itu, keinginan belum boleh diimbangi dengan keperluan saja, tetapi juga harus disokong dengan kemampuan.

Islam tidak pernah membebankan atau memberatkan umatnya dan tidak pula menghendaki umatnya menghadapi kesukaran dalam melaksanakannya.

Malah, Allah SWT pun tidak memaksa kita melakukan ibadah melampaui kemampuan. Contoh yang jelas adalah solat dalam perjalanan diberi rukhsah (keringanan), jika tidak mampu berdiri, boleh duduk atau terbaring.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...