Gambar hiasan cuma |
Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz yang bertugas
memandikan mayat orang Islam di hospital. Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya
menerima panggilan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor untuk
menguruskan jenazah lelaki yang sudah seminggu tidak dituntut. Di luar bilik
mayat itu cukup dingin dan gelap serta sunyi dan hening.
Hanya saya dan seorang penjaga bilik tersebut yang berada
dalam bilik berkenaan. Saya membuka dengan hati-hati penutup muka jenazah.
Kulitnya putih, badannya kecil dan berusia awal 20-an. Allah Maha Berkuasa.
Tiba-tiba saya lihat muka jenazah itu sedikit demi sedikit bertukar menjadi
hitam. Mulanya saya tidak menganggap ia sebagai aneh, namun apabila semakin
lama semakin hitam, hati saya mula bertanya-tanya. Saya terus menatap perubahan
itu dengan teliti, sambil di hati tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat suci
Al-Quran.
Detik demi detik berlalu, wajah jenazah semakin hitam. Selepas lima
minit berlalu, barulah ia berhenti bertukar warna. Ketika itu wajah mayat
berkenaan tidak lagi putih seperti warna asalnya, tetapi hitam seperti
terbakar. Saya keluar dari bilik berkenaan dan duduk termenung memikirkan
kejadian aneh yang berlaku itu. Pelbagai pertanyaan timbul di kepala saya
apakah yang sebenarnya telah terjadi? Siapakah pemuda itu? Mengapa wajahnya
bertukar hitam? Persoalan demi persoalan muncul di fikiran saya.
Sedang saya termenung tiba-tiba saya dapati ada seorang
wanita berjalan menuju ke arah saya. Satu lagi pertanyaan timbul, siapa pula
wanita ini yang berjalan seorang diri di bilik mayat pada pukul 4.00 pagi.
Semakin lama dia semakin hampir, dan tidak lama kemudian berdiri di hadapan
saya. Dia berusia 60-an dan memakai baju kurung.
Ustaz," kata wanita itu."Saya dengar anak saya
meninggal dunia dan sudah seminggu mayatnya tidak dituntut. Jadi saya nak
tengok jenazahnya." kata wanita berkenaan dengan lembut.
Walaupun hati saya ada sedikit tanda tanya, namun saya
membawa juga wanita itu ke tempat jenazah tersebut. Saya tarik laci 313 dan
buka kain penutup wajahnya.
"Betulkah ini mayat anak mak cik?"tanya
saya."Mak cik rasa betul... tapi kulitnya putih."Makcik lihatlah
betul-betul." kata saya. Selepas ditelitinya jenazah berkenaan,wanita itu
begitu yakin yang mayat itu adalah anaknya. Saya tutup kembali kain penutup
mayat dan menolak kembali lacinya
ke dalam dan membawa wanita itu keluar dari
bilik mayat. Tiba di luar saya bertanya kepadanya.
"Mak cik, ceritakanlah kepada saya apa sebenarnya yang
berlaku sampai wajah anak mak cik bertukar jadi hitam?" tanya saya.Wanita
itu tidak mahu menjawab sebaliknya menangis teresak-esak. Saya ulangi pertanyaan
tetapi ia masih enggan menjawab.Dia seperti menyembunyikan
sesuatu."Baiklah, kalau mak cik tidak mahu beritahu,saya tak mahu uruskan
jenazah anak mak cik ini.” kata saya untuk menggertaknya.
Bila saya berkata demikian, barulah wanita itu membuka
mulutnya.Sambil mengesat airmata, dia berkata,"Ustaz, anak saya ni memang
baik,patuh dan taat kepada saya.Jika dikejutkan di waktu malam atau pagi supaya
buat sesuatu kerja,dia akan bangun dan buat kerja itu tanpa membantah
sepatahpun.Dia memang anak yang baik.Tapi..." tambah wanita itu lagi.
"Apabila makcik kejutkan dia untuk bangun
sembahyang,Subuh misalnya, dia mengamuk marahkan mak cik. Kejutlah dia,
suruhlah dia pergi ke kedai,dalam hujan lebat pun dia akan pergi, tapi kalau
dikejutkan supaya bangun sembahyang, anak makcik ini akan terus naik angin.
Itulah yang mak cik kesalkan." kata wanita tersebut.
Jawapannya itu memeranjatkan saya.Teringat saya kepada hadis
nabi bahawa barang siapa yang tidak sembahyang,maka akan ditarik cahaya iman
dari wajahnya.Mungkin itulah yang berlaku. Wajah pemuda itu bukan sahaja
ditarik cahaya keimanannya,malah diaibkan dengan warna yang hitam.
Selepas menceritakan perangai anaknya,wanita tersebut
meminta diri untuk pulang. Dia berjalan dengan pantas dan hilang dalam
persekitaran yang gelap. Kemudian saya pun memandikan, mengapankan dan
menyembahyangkannya.
Selesai urusan itu, saya kembali ke rumah semula.Saya perlu
balik secepat mungkin kerana perlu bertugas keesokan harinya sebagai imam di
Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.Selang dua tiga hari
kemudian, entah kenapa hati saya begitu tergerak untuk menghubungi waris mayat
pemuda tersebut. Melalui nombor telefon yang diberikan oleh Hospital Tengku
Ampuan Rahimah,saya hubungi saudara Allahyarham yang agak jauh pertalian
persaudaraannya.
Selepas memperkenalkan diri, saya berkata,"Encik,
kenapa encik biarkan orang tua itu datang ke hospital seorang diri di pagi-pagi
hari. Rasanya lebih elok kalau encik dan keluarga encik yang datang sebab encik
tinggal di Kuala Lumpur lebih dekat dengan Klang. "Pertanyaan saya itu
menyebabkan dia terkejut,"Orang tua mana pula?" katanya.
Saya ceritakan tentang wanita berkenaan, tentang bentuk
badannya, wajahnya, tuturannya serta pakaiannya. "Kalau wanita itu yang
ustaz katakan, perempuan itu adalah emaknya, tapi.... emaknya dah meninggal
lima tahun lalu! "Saya terpaku, tidak tahu apa yang hendak dikatakan
lagi.Jadi 'Siapakah' yang datang menemui saya pagi itu?
Walau siapa pun wanita itu dalam erti kata sebenarnya,saya
yakin ia adalah 'sesuatu' yang Allah turunkan untuk memberitahu kita apa yang
sebenarnya telah berlaku hingga menyebabkan wajah pemuda berkenaan bertukar
hitam. Peristiwa tersebut telah terjadi lebih setahun lalu, tapi masih segar
dalam ingatan saya.Ia mengingatkan saya kepada sebuah hadis nabi,yang bermaksud
bahawa jika seseorang itu meninggalkan sembahyang satu waktu dengan sengaja,dia
akan ditempatkan di neraka selama 80,000 tahun.Bayangkanlah seksaan yang akan
dilalui kerana satu hari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun di dunia.
Kalau 80,000 tahun?
Ingatlah..azab meninggalkan solat fardhu ini amat dahsyat
dan tidak putus-putus seksaannya dari kehidupan dunia hinggalah kehidupan
akhirat. Semoga kita semua mengambil iktibar dari cerita ini dan menjadi orang
yang sentiasa menjaga solat, In shaa Allah.
Catatan wassap sahabat kbtc azmiMuhamad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan