☆Tadabbur Kalamullah 21 Jamadil Akhir 1447H☆
ٱلۡمَالُ وَٱلۡبَنُونَ زِینَةُ ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَاۖ وَٱلۡبَـٰقِیَـٰتُ ٱلصَّـٰلِحَـٰتُ خَیۡرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابࣰا وَخَیۡرٌ أَمَلࣰا
"Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan" [Surah al-Kahfi 46]
#Harta benda dan anak pinak hanyalah untuk sementara sahaja. Ia memang menarik perhatian kita dan kerana itu Allah swt mengatakan ia adalah ‘perhiasan’. Tidak salah untuk ada perhiasan di dunia ini, akan tetapi kena ingat yang ia hanya di dunia sahaja.
#Ketika hidup, Baginda saw juga memiliki harta benda. Namun, semuanya digunakan untuk kebahagiaan dunia dan akhirat. Nabi saw ketika hidup baginda memiliki senjata, perabot, kuda, tunggangan, pakaian, ternakan susu dan unta betina yang menyusu, serta perkara-perkara lain yang diperlukan oleh Baginda saw. Baginda juga memiliki tanah di Fadak dan Khaibar. Imam Ibn al-Qayyim menyebutkan tentang hal ini:
Baginda mempunyai sembilan pedang: Matsur: pedang pertama yang dimiliki, diwarisi daripada ayahanda baginda. Al-‘Adhb, Dzu al-Fiqar dengan dibaca kasrah atau fathah pada huruf Fa’. Pedang ini hampir tidak pernah berpisah daripada Baginda. Hiasan tangkai, hulu, gelang, jambul, butang dan sarungnya daripada perak. Al-Qala‘i, al-Battar, al-Hatf, al-Rasub, al-Mikhdham, al-Qadhīb.
Sarung pedang baginda diperbuat daripada perak, dan sambungan di antaranya juga daripada perak. Pedang Dzu al-Fiqār diperoleh Baginda dari harta anfal rampasan perang Badar, dan itulah pedang yang Baginda lihat dalam mimpi. Pada hari Fathu Makkah, Baginda masuk dengan pedang itu yang dihias dengan emas dan perak.
Baginda mempunyai tujuh baju besi: Dzat al-Fudul: Inilah yang Baginda gadaikan kepada Abu al-Syahm al-Yahudi dengan gandum untuk keluarga Baginda, sebanyak tiga puluh ṣā‘, tempoh hutang setahun. Ia dibuat daripada besi. Dzat al-Wisyāḥ, Dzat al-Ḥawāsyī, al-Sa’diyyah, Fiddhah, al-Batra’, al-Khirniq.
Baginda mempunyai enam busur: al-Zaurā’, al-Rauhā’, al-Ṣafrā’, al-Bayḍā’, al-Katūm yang patah dalam peperangan Uhud, lalu diambil oleh Qatādah bin al-Nu’mān, dan al-Sadād.
Baginda mempunyai sebuah kantung anak panah dinamakan al-Kāfūr, dan tali pinggang kulit yang terdapat padanya tiga gelang daripada perak, kepala tali pinggang dari perak, serta hujungnya perak. Inilah yang dinyatakan oleh sebahagian ulamak.
Baginda mempunyai perisai bernama al-Zalluq, dan satu lagi bernama al-Futaq. Dikatakan juga ada satu perisai yang dihadiahkan kepada baginda, padanya ada gambar patung, lalu Baginda meletakkan tangan di atasnya, maka Allah menghapuskan gambar itu.
Baginda mempunyai lima tombak, salah satunya bernama al-Muthwī, yang lain bernama al-Muthni. Baginda mempunyai sebatang lembing dinamakan al-Nab‘ah, yang satu lagi besar bernama al-Bayḍā’ dan satu lagi kecil seperti tongkat diberi nama al-‘Anazah, baginda membawanya di hadapan Baginda pada hari raya. Ia ditegakkan di hadapan sebagai sutrah untuk Baginda solat menghadapnya, dan kadangkala Baginda berjalan dengan menggunakannya.
Baginda mempunyai topi besi diberi nama al-Muwashshaḥ, dihias seperti tembaga kuning, dan satu lagi bernama al-Subūgh atau Dzu al-Subūgh.
Baginda mempunyai tiga jubah yang dipakai dalam peperangan: Disebut bahawa salah satunya daripada sutera hijau. Diketahui bahawa ‘Urwah bin al-Zubair memiliki yalmāq, daripada kain sutera, lapisannya sutera hijau, dipakainya ketika perang. Imam Ahmad dalam salah satu riwayatnya membenarkan memakai sutera dalam peperangan.
#Terdapat beberapa jenis lagi perhiasan dunia yang dimiliki baginda saw.
♡Sehebat manapun harta benda dan perhiasan dunia, semuanya akan binasa. Yang akan kekal hanyalah amal soleh yang akan membahagiakan seseorang itu di akhirat kelak. Selamat beramal soleh♡
🐊Ust Naim -*Telegram Channel* -http://bit.ly/tadabburkalamullah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan