Isnin, 22 Disember 2025

...ADALAH DARI ORANG-ORANG YANG SABAR.

☆Tadabbur Kalamullah 17 Jamadil Akhir 1447H☆

وَإِسْمَاعِيلَ وَإِدْرِيسَ وَذَا الْكِفْلِ ۖ كُلٌّ مِّنَ الصَّابِرِينَ

"Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Dzu al-Kifl; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar" [Surah al-Anbiya’ 85] 

#Ibnu Kathir bercerita dalam kitabnya Qasas al-Anbiya’: Secara zahir, al-Quran menyebutkan sanjungan Allah swt kepada Zulkifli bersamaan dengan para nabi. Ini menunjukkan bahawa dia adalah seorang nabi. Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam kepadanya. Inilah pendapat yang masyhur.

#Abu Hayyan al-Andalusi berkata: قَالَ الْأَكْثَرُونَ: هُوَ نَبِيٌّ

Majoriti ulamak mengatakan: "Zulkifli adalah seorang Nabi" (Lihat: al-Bahr al-Muhith) 

#Sayyid Qutb berkata: Zulkifli tidak begitu dikenali. Kita tidak dapat menentukan zamannya dan tempatnya. Pendapat yang lebih rajih mengatakan beliau dari kalangan para nabi Bani Israel. 

#Syeikh al-Maraghi berkata: "Adapun Nabi Zulkifli Alaihissalam digelar sebagai al-Kiflu yang bererti yang bertuah atau bertanggungjawab. Akan tetapi ulamak berbeza pendapat dalam mengemukakan kisahnya. Ada yang menyebut bahawa beliau adalah seorang Nabi dan ini merupakan pandangan majoriti. Mereka berkata bahawa beliau adalah anak Nabi Ayub Alaihissalam, diutuskan oleh Allah swt sebagai nabi selepas kewafatan bapanya. Baginda diperintah oleh Allah swt supaya menyeru manusia kepada mentauhidkanNya, kemudian Baginda bermukim di Syam sepanjang hayatnya". 

#Baginda dinamakan Zulkifli kerana baginda telah sanggup akan melakukan puasa di siang hari dan beribadah pada malam harinya, serta berjanji akan memutuskan keadilan di antara orang-orang yang dihakimi dan tidak akan marah. Kemudian ternyata baginda memenuhi apa yang telah dijanjikannya itu.

#Allah swt menyatakan bahawa Nabi Zulkifli tergolong dalam kalangan hambaNya yang tinggi kesabaran, sentiasa dalam rahmat Allah dan juga seorang yang soleh.

وَأَدْخَلْنَاهُمْ فِي رَحْمَتِنَا ۖ إِنَّهُم مِّنَ الصَّالِحِينَ

"Dan Kami masukkan mereka dalam (kumpulan yang dilimpahi) rahmat Kami: sesungguhnya mereka adalah dari orang-orang yang soleh" [Surah al-Anbiya’ 86] 

#Allah telah memasukkan Baginda ke dalam rahmat khas dariNya. Baginda telah diangkat menjadi Nabi dan tentunya akan beroleh syurga yang tertinggi. Baginda adalah orang soleh dalam darjat kenabian. Itulah sebaik-baik kedudukan. 

وَاذْكُرْ إِسْمَاعِيلَ وَالْيَسَعَ وَذَا الْكِفْلِ ۖ وَكُلٌّ مِّنَ الْأَخْيَارِ

"Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi lsmail, dan Nabi Alyasak, serta Nabi Zulkifli; dan mereka masing-masing adalah dari orang-orang yang sebaik-baiknya" [Surah Sad 48]

Semoga Allah mengurniakan kepada kita sifat kesabaran, kesolehan dan ketaqwaan seperti nabi Zulkifli dan nabi-nabi yang lain. Aamiiin

Ust Naim -*Telegram Channel*-http://bit.ly/tadabburkalamullah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nasihat Bisyr...

Abu Nasr At-Tammar berkata: Suatu ketika ada seorang lelaki datang untuk berpamitan kepada Bisyr bin Harits,  Ia berkata, "Aku berniat ...