☆Tadabbur Kalamullah 16 Jamadil Akhir 1447H☆
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)" [Surah al-Anfal 27]
#Al-Alusi berkata dalam Ruh al-Ma`ani: "Asal khianat ialah kekurangan sebagaimana asal menunaikan janji dengan kesempurnaan. Ianya berlawanan dengan maksud amanah. Dikehendaki di sini ialah tidak beramal dengan apa yang disuruh oleh Allah swt dan Rasulullah saw.
#Pengkhianatan adalah haram menurut ijmak para ulamak, sama ada terhadap seorang Muslim atau seorang zimmi (bukan Muslim yang berada di bawah perlindungan negara Islam). Sama ada ia dilakukan oleh orang yang baik terhadap orang yang jahat atau sebaliknya iaitu daripada si jahat kepada si baik, atau antara dua orang yang jahat sekalipun.
#Nabi saw bersabda: لِكُلِّ غَادِرٍ لِوَاءٌ يُنْصَبُ بِغَدْرَتِهِ يَوْمَ القِيَامَةِ
"Bagi setiap pengkhianat terdapat bendera yang dipancang (dipacakkan) kerana pengkhianatannya pada hari kiamat" (HR al-Bukhari)
#Berkata al-Muhallab: Rasulullah saw telah memberitahu bahawa hukuman bagi si pengkhianat pada Hari Kiamat ialah akan didirikan untuknya panji (bendera) agar orang ramai mengenalinya sebagai seorang pengkhianat. Maka mereka akan memandangnya dengan pandangan kehinaan, dan ini merupakan hukuman yang serupa dengan apa yang disebut oleh Allah dalam firmannya,. bagi orang yang berdusta atas nama Allah: “(para saksi berkata: Inilah orang-orang yang berdusta terhadap Tuhan mereka" (Surah Hud 18)
#Rasulullah saw pernah berpesan bahawa akan datang satu zaman, si penipu, pengkhianat akan diangkat menjadi pemimpin dan dibenarkan pengkhianatannya.
سَيأتي على الناسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ، يُصَدَّقُ فيها الكَاذِبُ، و يُكَذَّبُ فيها الصَّادِقُ، ويُؤْتَمَنُ فيها الخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فيها الأَمِينُ، ويَنْطِقُ فيها الرُّوَيْبِضَةُ. قيل: وما الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قال: الرجلُ التَّافَهُ، يتكلَّمُ في أَمْرِ العَامَّةِ
"Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan percakapan orang yang benar pula didustakan, amanah diberikan kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan bersuaralah golongan al-Ruwaibidah. Baginda saw ditanya: Siapakah golongan al-Ruwaibidah? maka Baginda menjawab: Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar" (HR al-Bukhari)
#Hadis ini menerangkan bahawa pada saat ini dunia penuh dengan penipuan, pengkhianatan dan tipu daya. Ini berlaku apabila orang yang berdusta lebih dipercayai, manakala mereka yang berkata benar ditolak dan didustakan. Ia zaman tipu daya apabila amanah dan tanggungjawab diserahkan kepada pengkhianat sebaliknya mereka yang amanah pula dikhianati.
♡Mudah-mudahan umat Islam dapat mengambil pengajaran daripada ayat al-Quran dan hadis Nabi saw agar tidak menjadi pengkhianat serta tidak memilih ketua di kalangan pengkhianat.
🐊Ust Naim -*Telegram Channel* -http://bit.ly/tadabburkalamullah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan