Sabtu, 12 Mac 2011

AIR ZAM-ZAM Kelebihan dan Adab Meminumnya


Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

Ertinya: Air Zamzam itu diminum mengikut apa yang diniatkan atau dikehendaki." (Diriwayatkan dari Jabir, lbnu Abbas, lbnu Umar dan Muawiyah)

Ahli-ahli ilmu telah meluaskan huraian mereka mengenai dengan hadis di atas. Al-Munawa Rahimahullah Ta'ala telah berkata: "Air Zam zam ialah penghulu segala air, paling mulia, paling berharga dan paling disukai. Allah Ta'ala telah memberi minum dan menolong putera kekasihnya, Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim Alaihissalam dengan air Zamzam. Maka begitulah pertolongan yang seperti itu juga boleh diperolehi oleh orang-orang yang selepas baginda, iaitu bagi sesiapa sahaja yang meminumnya dengan niat ikhlas, termasuk juga kita. Ramai para ulama telah meminumnya kerana sesuatu hajat, dan mereka itu berhasil memperolehinya."

Disebut oleh pengarang kitab 'al-'Aqdus Sameen, 'bahawa Ahmad bin Abdillah Asy-Syarifee, seorang khadam di Tanah Haram Mekah telah meminum air Zamzam dengan niat dan tujuan untuk berubat daripada buta. Lalu (dengan izin Allah) beliau itu sembuh. Menurut pengarang kitab ini lagi, bahawa kejadian ini dikhabarkan sendiri olch gurunya, al-Fufti Abdul Rahman bin Abil Khair alFasi.

Berkata al-lmam an-Nawawi Rahimahullah sebagai mengulas hadis di atas: "Maknanya, barangsiapa yang meminumnya kerana sesuatu hajat, nescaya memperolehi hajatnya itu, Hal ini, telah dicuba oleh para ulama dan orang-orang saleh bagi segala hajat mereka, sama ada hajat akhirat mahupun hajat dunia, dan Alhamdulillah, semuanya telah memperolehinya." (Lihat Tahzibul Asma Wal~Lughat 3/139).

Al- 'Allamah lbnul Qayyim al-Jauziah Rahimahullah pula berkata: "Saya dan juga orang-orang lain sudahpun mencuba berubat dengan air Zamzam. Saya telah berubat dengannya dalam banyak penyakit, dan sembuh dengan izin Allah. Demikian juga saya sudah menyaksikan orang yang menggantikan makanan biasa dengan air Zamzam hampir setengah bulan atau lebih , tetapi tidak merasa lapar. Bahkan dia juga tawaf bersama orang ramai, mampu menggauli isterinya dan berpuasa."

Menambah lagi al-'Allamah: "Telah berlaku kepada diri saya sewaktu di Mekah, saya jatuh sakit, dan pada masa itu benar-benar ketiadaan ubat dan doktor. Maka saya pun berubat sendiri dengan al-Fatihah. Saya ambil air Zamzam, dan saya bacakan di atasnya berulang kali, kemudian saya minum, lalu saya mendapati kesembuhan yang sempurna. Semenjak itu saya melakukannya atas banyak penyakit dan semuanya memberi sebesar-besar manfaat." (Lihat Zadul Ma'ad 4/718)

Berkata pula AI-Hakim: "Bahawa Abu Bakar Muhammad bin Jaafar telah bercerita tentang diri lbnu Khuzaimah (lbnu Khuzaimah ialah seorang ilmuan besar), katanya: "Saya telah mendengar orang bertanya kepada lbnu Khuzaimah: "Dari manakah tuan memperolehi ilmu? " Menjawab lbnu Khuzaimah: "(Bukankah) Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallain pernah bersabda: " Air Zamzam itu diminum mengikut apa yang diniatkan? “
(Lihat Sairul A'Iam anNubala14/370).

AI-Jalal as-Suyuti juga turut menceritakan tentang dirinya, katanya: "Dengan memuji Allah Ta'ala, saya sudah musafir ke negeri-negeri Syam, Hijaz, Yaman, India dan Maghribi. Apabila saya menunaikan haji, saya telah minum air Zamzam bagi beberapa perkara yang berikut,
Antaranya:
oAgar saya sampai (mahir) dalam ilmu fiqeh sehingga mencapai martabat Asy-Syeikh Sirajuddin al-Bulqini.
oDalam ilmu hadis sehingga saya mencapai martabat al-Hafiz lbnu Hajar.

Adapun semua ini saya sebutkan demi mengingati nikmat Allah Ta'ala ke atas diri saya, bukannya untuk bermegah-megah. Kerana apalah yang ada untuk dimegahkan di dunia ini, sedang saat kembali semakin dekat dan ubanpun mulai subur." (Lihat Husnul Muhadharah 1/215 dan 2/296).

Jika diperhatikan dengan sehalus-halusnya keterangan di atas, maka nyatalah yang amat mustahak itu ialah niat dan keimanan yang seikhlas-ikhlasnya untuk mengiringi perbuatan minum itu. Tidak memadai setakat minum semata-mata tanpa niat dan tanpa yakin terhadap iradat dan kudrat Allah yang menunaikan hajat kita. Kerana itu minum yang kosong daripada niat dan keyakinan mungkin sahaja tidak mendatangkan hasil, sesuai dengan maksud dan tujuan hadis yang disebutkan di atas.

ADAB MEMINUMNYA

Beberapa adab atau peraturan bagaimana meminum air Zamzam itu, antaranya:

Daripada Abdullah bin Abi Mulaikah, katanya: Seorang laki-laki telah datang menemui lbnu Abbas. Lalu bertanya lbnu Abbas: "Tuan datang dari mana?" Lelaki itu menjawab: "Saya baru lepas minum air Zamzam".Tanya lbnu Abbas lagi: "Adakah tuan minum itu mengikut cara yang sepatutnya'?" Lelaki itu tidak menjawab, sebaliknya bertanya pula kepada lbnu Abbas: "Bagaimanakah caranya wahai lbnu Abbas?"

Maka lbnu Abbas pun menjelaskan: "Apabila minum air Zamzam hendaklah menghadap kiblat, sebutkan nama Allah (baca Bismillah) dan bernafas di luar bijana (bekas minuman) ,kemudian baru teguk lagi,dan (sesudah selesai minum) ucapkan pujian kepada Allah (baca Alhamdulillah).

Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada bersabda: "Perbezaan di antara kita dan orang ramai (kaum munafik) ialah bahawa mereka itu tidak suka meneguk (minum) air zamzam." (Hadis riwayat Addara Qutni dan lbnu Majah).

Daripada 'Ikramah meriwayatkan, bahawa adalah lbnu Abbas Radhiallahu Anhuma apabila minum air Zamzam beliau berdoa (ertinya) : "Ya Allah ya Tuhanku! Aku bermohon kepadaMu supaya dikurniakan ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan daripada segala penyakit." (Diriwayatkan oleh ad-Dara Qutni dan lbnu Majah).
Dalam bahasa Arabnya doa itu berbunyi:

Menurut riwayat, lbnu Abbas adalah terkenal seorang sababat yang sangat mendalam ilmunya, luas rezekinya dan tidak pernah sakit kecuali penyakit tua.

Syeikh Jamaludin Muhammad Jarullah bin Muhammad Nuruddin dalam kitabnya 'al-Jamiul Latif fi Fadhli Makkah' dalam bab Adab minum air Zamzam berkata:
"Berkata seorang ulama Rahimahullah, sesiapa yang hendak meminum air Zamzam, eloklah dia mengambil bekas yang berisi air Zamzam dengan mengadap kiblat, kemudian berkata: Ya Allah, sesungguhnya telah sampai kepadaku daripada nabiMu Sallallahu 'Alaihi Wasallam, bahawa baginda bersabda:

Maka Ya Allah, aku meminum air Zamzam ini untuk............. (sebutkan apa yang dikehendaki). Selepas itu diminum seteguk, kemudian bernafas di luar bijana ( bekas minuman) itu, Dan begitulah dilakukan sebanyak tiga kali. Setiap kali meneguknya dibaca Basmalah dan setiap kali selesai dibaca Hamdalah.

Beginilah cara meminum air Zamzam yang diriwayatkan daripada lbnu Abbas dan doa yang di atas dibaca ketika meminumnya.
Dipetik dari buku –Menjadi Tetamu Allah Kali Kedua ( Haji Akhbar)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...