Sabtu, 21 Julai 2012

PERSOALAN AGAMA - SOLAT


http://tanbihul_ghafilin.tripod.com
Solatlah di mana jua pun kita berada

1. SOLAT TERAWIKH 

Soalan : Saya ada satu soalan mengenai solat terawih, soalannya ialah setiap kali saya solat terawih, saya tidak sempat membaca Al-Fatihah disebabkan imam terlalu cepat. Adakah sah solat saya itu.

Jawapan: Solat  tersebut dikira sah di mana Al-Fatihah makmum ditanggung oleh imam. Ini hanya dipakai pada solat sunat sahaja, jika solat fardu, Al-Fatihah adalah menjadi wajib ke atas makmum kecuali yang masbu' (ketinggalan). Sila rujuk kitab solat untuk keterangan lanjut.


2. ISTERI DEGIL
Soalan : Seorang isteri enggan solat. Berbuih mulut suami beliau menyuruhnya solat. Kadangkala mereka bergaduh mengenai hal ini. Isteri beliau hanya kata, "Kubur aku, aku jaga Kubur engkau engkau jaga" !!!Apakah hukum perkahwinan mereka ?

Jawapan: Perkahwinan mereka adalah sah kerana pendapat ulamak tidak menghukum mereka yang meninggalkan solat sebagai murtad. Tetapi isteri tersebut dikira fasik di mana beliau tidak boleh menjadi wali atau saksi. Pihak suami perlu menangani hal ini dengan penuh hikmah dan kesabaran. Cuba elakkan dari membuat ugutan kerana ianya akan memburukkan lagi keadaan. Berikut diberikan beberapa tektik dan teknik yang boleh dicuba :-
  • Ajak solat jemaah bersama keluarga - anak-anak, ayah, mertua dsb.
  • Bawa ke majlis ilmu yang ada mendirikan solat jemaah.
  • Bawa Tok Alim ke rumah untuk mengajar agama kepada keluarga.
  • Guna orang ketiga, (yang disegani oleh isteri) untuk memberi nasihat.
  • Guna khidmat kaunseling yang kini ada di mana-mana.
  • Tingkatkan ibadat sendiri supaya menjadi contoh kepada isteri.

3. SOLAT TAHIYYATUL MASJID


Soalan : Sebuah surau diberi kebenaran untuk didirikan solat Jumaat - contoh surau Tabung Haji. Apakah boleh kita melakukan sunat Tahiyyatul masjid dan berniat iktikaf di sana sedangkan status surau itu masih bukan masjid?

Jawapan: Solat  sunat tahiyyatulmasjid ialah solat sunat untuk menghormati masjid. Jika dikaji istilah masjid di sini bermakna tempat solat berjamaah. Secara mudah, anggaplah surau yang diberikan taraf masjid sementara itu tergolong dalam istilah masjid dan sunat berniat ikhtikaf dan solat tahiyyatul masjid. Tidak menjadi dosa jika bersolat sunat tahiyyatul masjid di surau.


4. SOLAT JUMAAT DAN JAMAK

Untuk makluman Ustaz saya sedang menuntut di Jepun .


Soalannya: Di sini ada 4 orang muslim.Jadi mengikut mazhab Syafi`i Fardhu Jumaat adalah gugur. Tetapi pelajar dari Indonesia cenderung untuk melakukan fardhu Jumaat.

Jawapan: Menurut mazhab Shafii antara syarat sah solat Jumaat adalah mempunyai jumlah jemaah sebanyak 40 orang. Maka jika tidak cukup maka gugurlah kewajiban Jumaat itu dan wajiblah dikerjakan solat zuhur. Walaupun begitu ada mazhab lain yang berpendapat bahawa jumlah jemaah tidak perlu 40 orang. Jika sahabat anda bermazhab lain maka mungkin mereka masih boleh mengerjakan solat Jumaat tersebut.


Soalan : Adakah sah solat Jumaat sebelum masuk waktu Zohor?.. dan apakah hukumnya jika saya cuma bersolat Zohor kerana was-was akan sahnya solat Jumaat tersebut.

Jawapan: Solat Jumaat tidak sah dilakukan di luar waktu zuhur. Hukum mengerjakan solat zuhur pada hari Jumaat adalah sah sekiranya terdapat halangan untuk mengerjakan solat Jumaat.



5. SOLAT MUSAFIR


Soalan :  Saya telah berniat melakukan Jamak Takhir (menghimpunkan solat Zohor ke Asar) dalam perjalanan yang melebihi 2 marhalah. Bagaimanapun, saya telah sampai ke rumah dalam waktu Asar tanpa sempat menunaikan Jamak Takhir semasa dalam perjalanan. Apakah yang perlu dilakukan? Perlukah saya solat Asar and qadho solat Zohor?

Jawapan: Setelah sampai ke tempat bermastautin, maka musafir kita tamat. Dengan itu tidak boleh kita ber solat Jamak lagi. Maka perlulah kita ber solat Asar dan mengqadho solat zuhur yang tertinggal.

Soalan :  Semasa dalam perjalanan jauh, sewaktu masuk waktu Zohor saya telah berniat untuk menjamak solat Zohor dengan Asar di waktu Asar. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, sewaktu waktu Zohor masih ada, sebahagian dari penumpang kenderaan ingin membuat jamak taqdim iaitu menjamak Zohor dengan Asar di waktu Zohor. Bolehkah saya bertukar niat dan bersolat bersama mereka?

Jawapan: Tidak menjadi masalah.


Pernah juga saya terpaksa memulakan suatu perjalanan jauh sebelum masuk waktu Subuh. Perjalanan saya mengambil masa yang lama dan adalah sukar bagi saya mengerjakan solat subuh kerana waktu Subuh yang agak pendek dan perjalanan juga agak baru dimulakan. Solat jamak tidak terdapat untuk solat Subuh, maka saya dalam keadaan sukar berhenti juga untuk solat. Adakah terdapat sebarang kemudahan di dalam Islam untuk musafir di dalam keaadan begini?

Jawapan : Solat Subuh tetap wajib dikerjakan dalam waktunya. Maka jika keadaan diluar kawalan kita, seperti dalam bas dan sebagainya, hendaklah kita ber solat dengan kekurangan tersebut, seperti solat duduk dan sebagainya.

Terdapat pelajar di sini (soalan dari Jepun) yang melakukan solat Jama` dan Qasar dengan alasan dia di sini datang untuk sementara sahaja (4 tahun )dan bukan untuk terus tinggal di sini (bermastautin).


Jawapan :Menurut mazhab Shafii, istilah musafir ialah menetap tidak lebih dari tiga hari tiga malam. Selebih dari itu tidak dikira musafir dan tidak boleh mengerjakan solat Qasar dan Jama'. Pengkecualian diberi juga kepada musafir yang tidak tentu tempoh menetapnya mereka disatu-satu tempat tersebut. Contohnya, jika seseorang musafir itu menjangka bahawa beliau akan menetap di suatu tempat itu tidak lebih dari tiga hari, akan tetapi kerana sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan, beliau terpaksa tinggal lebih lama tanpa tahu bila boleh beredar. Maka beliau dibolehkan menjamakkan solat nya sehingga 15 hari.

6. TERBUKA AURAT KETIKA SOLAT
Soalan : Apakah batal solat sekiranya kain telekung terselak hingga menampakkan jari kaki sedangkan ketika itu saya tinggal seorang diri dan tidak ada sesiapa pun yang melihatnya?


Jawapan: Batal. Kerana menutup aurat adalah antara syarat-syarat sah solat. Solat itu wajib dilakukan semula tanpa perlu membaharui wudhu'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...