Rabu, 27 September 2023

*CIRI-CIRI PERNIAGAAN CARA NABI MUHAMMAD*

 *Para penjual wajib baca*

Jarang kita dengar sifat keusahawanan atau ciri-ciri perniagaan Nabi Muhammad.

Baginda sudah mula berniaga sejak berumur 12 tahun. Di bawah jagaan Abu Talib AS, Nabi Muhammad saw telah mula mengikut Abdul Talib as berniaga sehingga ke Syria. Abdul Talib adalah mentor perniagaan kepada Nabi Muhammad ketika muda.

Dan Nabi Muhammad merupakan ahli perniagaan yang hebat. Pada suatu ketika, di waktu berniaga, Nabi Muhammad telah memperoleh keuntungan lebih dari usahawan-usahawan lain dalam rombongan yang sama. Oleh kerana kehebatan Nabi Muhammad SAW dalam perniagaan, Baginda berjumpa dengan isterinya, Siti Khadijah (yang juga seorang usahawan unggul) ketika berumur 25 tahun.

Rasulullah pernah bersabda tentang pemilikan harta :

"Harta itu merupakan kekayaan terpuji TETAPI hanya bagi orang yang soleh, kerana orang yang soleh akan menggunakan hartanya secara bijaksana, tidak dikotori rasa angkuh yang menghilangkan keberkatan dari Allah."

*Berniaga Mengikut Sunnah*

 Perniagaan mengikut sunnah junjungan besar Rasullullah SAW adalah perkara yang perlu diikuti oleh kita semua sebagai seorang peniaga muslim. Rasulullah dahulu ketika berniaga, tidak pernah menyakiti hati peniaga lain dan tidak pernah pula berlaku kurang jujur dengan pelanggan. Hal ini diakui oleh mereka yang pernah berurusan dengan Baginda SAW sebelum baginda diangkat menjadi Rasul lagi.

Dalam satu peristiwa, seorang peniaga bernama Saib bin Ali Saib datang menemui Rasulullah SAW. Melihat Saib datang, Nabi Muhammad berkata, "Mari, mari. Selamat datang saudara saya, dan rakan niaga saya yang tidak pernah bertengkar." kata Nabi Muhammad.

Saib membalas dengan berkata, "Kita tidak pernah bertengkar sebab tuan peniaga yang sentiasa lurus dan tepat dengan kiraan." Kisah ini saya petik daripada buku "Cerita Motivasi Untuk Pemimpin" keluaran PTS.

Saya terkenang kembali kata-kata seorang tokoh perniagaan yang berjaya ketika beliau menyampaikan syarahan berkenaan perniagaan beliau, dan salah satu perkara yang dinyatakan oleh beliau berkait dengan teknik Rasulullah berniaga.

Ketika Baginda berniaga, Baginda menyatakan harga modal yang diperoleh kepada bakal pembeli. Kemudian, Baginda menyatakan pula harga jual kepada bakal pelanggan tersebut. Ini merupakan satu contoh perlakuan terpuji Rasulullah yang perlu kita ikuti ketika hendak berniaga.

Dari Anas RA berkata Rasulullah SAW, "Barangsiapa yang merasa penat kerana bekerja untuk mencari rezeki yang halal, nescaya terampun segala dosanya."-(Riwayat Al-Imam As-Suyuti)

*Sentiasa Senyum*

Satu lagi daya penarik yang luar biasa yang telah menarik para pembeli untuk mendekati barang-barang Nabi ialah sikap dan wajah Baginda semasa berjualan itu. Selaku seorang insan yang sedia dijadikan Allah berwajah kacak menawan dan gemar melemparkan senyuman kepada orang, maka Nabi telah menggunakan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada Baginda itu. Dengan wajah yang manis dan menawan dihiasi pula dengan senyuman yang manis, pastilah keindahan dan keelokan yang terpancar di wajah seseorang itu semakin bertambah. Walaupun tutur kata tidak seberapa, tetapi para pelanggan tetap menggemari orang yang berwajah manis dan selalu memberi senyuman kepada orang.

*Lemah Lembut*

Baginda Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan sikap baik hati dan lemah lembut ketika menjalankan perniagaan. Jabir telah meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud : "Allah SWT mencucuri rahmat kepada orang yang berbuat baik ketika ia berjual, ketika ia membeli dan ketika ia membuat tuntutan."

*Bukan Mengejar Harta Semata-mata*

Nabi Muhammad SAW bekerja keras mencari penghidupan yang halal. Baginda menjalankan perniagaan bukan sahaja untuk menyara kehidupan Baginda tetapi juga untuk mengukuhkan potensi Baginda agar orang yang kaya tampil ke hadapan untuk menghulur modal mereka untuk digunakan oleh Baginda bagi tujuan perniagaan.

Muamalah seperti ini amat digalakkan oleh Islam kerana terdapatnya unsur bantu membantu di kalangan mereka yang berada dan tidak berada. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ma’idah, ayat 2, bermaksud :

"Dan hendaklah kamu bantu membantu dalam perkara-perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu sekali-kali bantu membantu dalam perkara-perkara kejahatan dan permusuhan."

*Berkata Benar dan Berlaku Jujur*

Dari Abi Sahid dari Nabi SAW, Baginda bersabda : "Peniaga yang dapat dipercayai dan beramanah, akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai dan orang-orang yang mati syahid."-

Dalam konteks ini, kejujuran ditekankan kerana kejujuran merupakan antara elemen terpenting dalam perniagaan.

Ketika kita berbincang mengenai perniagaan seorang muslim, kita sebenarnya sedang membincangkan satu konsep perniagaan yang membangunkan hubungan kepercayaan di antara peniaga dan pelanggan, dan piawaian ini tidak boleh dicapai dengan adanya dusta dan penipuan.

Pada suatu hari, Nabi Muhammad berjalan-jalan di kawasan pasar bandar Madinah. Baginda lalu di hadapan seorang peniaga yang menjual buah-buahan yang dilonggok-longgokkan.

Rasulullah memeriksa buah-buahan itu dengan memasukkan tangannya ke dalam satu longgokan.

Kemudian Nabi Muhammad menarik tangannya keluar dan menunjukkan jarinya yang basah kepada peniaga itu.

"Apa ini saudara?" tanya Nabi Muhammad. "Terkena hujan, tuan." kata peniaga itu.

"Mengapa saudara tidak letakkan buah-buahan yang basah itu di sebelah atas supaya orang dapat melihatnya?" kata Nabi Muhammad.

Kemudian Baginda berkata lagi, "Barangsiapa menipu, dia bukan pengikut saya."

*Tidak Pernah Berdebat*

Rasulullah dahulu ketika berniaga, tidak pernah menyakiti hati peniaga lain. Hal ini diakui oleh mereka yang pernah berurusan dengan Baginda SAW sebelum Baginda diangkat menjadi Rasul lagi. Dalam satu peristiwa, seorang peniaga bernama Saib bin Ali Saib datang menemui Rasulullah SAW. Melihat Saib datang, Rasulullah berkata, "Mari, mari. Selamat datang saudara saya, dan rakan niaga saya yang tidak pernah bertengkar." kata Rasulullah. Saib membalas dengan berkata, "Kita tidak pernah bertengkar sebab tuan peniaga yang sentiasa lurus dan tepat dengan kiraan."

Cintailah Para Ulama', Pewaris Para Anbiya'

instagram | telegram : @kalam_ulama

telegram.me/kalam_ulama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...