Khamis, 28 September 2023

HAKIKAT DAKWAH

 ۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞

"Dakwah bukanlah kerja khusus bagi Ulama, Asatizah, Da'i dan Pendakwah sahaja. Dakwah adalah kerja kita semua. Baik di kalangan lelaki atau perempuan. Walaupun dakwah ini kerja Para Anbia dan Mursalin sekalipun. Sebenarnya dakwah Nabi Muhammad صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم tidak berhajat kepada kita, Dakwah Allah سبحانه وتعالى tidak berhajat kepada kita semua.

Guru dan Asatizah tidak berhajat kepada anak muridnya, anak murid tidak berhajat kepada gurunya. Sebab kita semua Umat Nabi Muhammad صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم berhajat kepada Allah سبحانه وتعالى dan berhajat kepada Dakwah itu sendiri. Kita yang perlu untuk Berdakwah. Dakwah Allah dan Dakwah Rasulullah صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم sentiasa jalan tidak akan berhenti daripada kita atau daripada orang lain, bahkan boleh daripada makhluk-makhluk Allah yang lain. Bukan dari kalangan Jin atau manusia, tapi melalui Haiwan.

Al-Imam Ahmad bin Hanbal, Al-Imamut Tarmizi dan Al-Imamul Baihaqi رضي اللَّه عنهم وأرضاهم meriwayatkan di dalam kitab mereka sebuah cerita yang luar biasa. Ada seorang sahabat Nabi Muhammad صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم, yang pernah bercakap dengan seekor serigala. Namanya Uhban bin Ka'ab As-Sulami seorang penganut agama Yahudi dan dia juga seorang pengembala kambing, kisahnya ini sebelum dia memeluk agama Islam.

Satu hari, Uhban ini berada di satu tempat yang jauh dengan kambingnya. Tiba-tiba ada seekor serigala datang dan gigit seekor daripada kambing kambingnya kemudian membawanya lari ke tempat lain. Kemudian Uhban kejar serigala tersebut sehingga dapat sebab nak menyelamatkan kambingnya. Setelah kambingnya berjaya diselamatkan. Terus serigala itu berkata kepada Uhban Bin Ka'ab As Sulami, "Kenapa kamu mengambil satu rezeki yang diberikan oleh Allah سبحانه وتعالى kepada aku?"

Uhban berasa pelik, tiba-tiba dia terdengar ada suara yang bercakap dengan lidah yang fasih, dia lihat kiri dan kanan tidak ada sesiapa melainkan dirinya dengan serigala itu. Sudah tidak ada sesiapa kemudian dia pandang serigala itu dengan pelik dan berkata, "Ajib kamukah yang bercakap?" Serigala itu pun balas, "Saya lagi ta'ajjub (pelik) daripada kamu, lagi pelik melihat keadaan kamu, kerana tidak ada di antara kamu dan seorang Nabi melainkan bukit ini, tapi kamu tidak pergi berjumpa dengan Nabiyullah Muhammad صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم dan tidak beriman kepadanya apatah lagi menolongnya."

Cerita ini berlaku di Madinah. Uhban sebenarnya tidak pernah tahu di sana ada seorang Nabi yang bernama Muhammadin bin Abdillah. Berapa lama kemudian dia pun membuat keputusan untuk berjumpa dengan Rasulullah صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم dengan kambingnya. Sebelum masuk waktu Asar, Uhban sudah tiba di depan Masjid Rasulullah صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم.

Waktu itu, Rasulullah صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم sedang berlegar legar di sekitar halaman masjidnya kerana Rasulullah صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم sudah tahu ada seseorang yang bernama Uhban bin Ka'ab As-Sulami ingin berjumpa dengannya dan sudah tahu cerita yang sebenarnya, kemudian Rasulullah صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم terus menegur Uhban setelah Baginda صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم perasan uhban sudah sampai. "Wahai Uhban, apa yang berlaku antara kamu dengan serigala itu?"

Uhban makin rasa yakin bahawa Muhammadin bin Abdillah ini ialah seorang Nabi, kerana belum sempat Uhban nak menceritakan apa apa Rasulullah صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم sudah tahu, bahkan Uhban tidak pernah berjumpa dengan Rasulullah صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم, tapi bagaimana Rasulullah صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم tahu namanya? Ini yang membuatkan Uhban makin yakin dengan Baginda صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم.

Terus Uhban pun bagitahu Rasulullah صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم tentang apa yang berlaku antara dia dengan serigala itu. Kemudian setelah Rasulullah صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم selesai menunaikan solat Asar. Rasulullah صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم meminta Uhban As-Sulami menceritakan kisahnya dengan serigala itu depan jemaah semua. Uhban pun menurut perintah dan menceritakan kisahnya kepada semua manusia yang berada di situ sehinggalah di penghujung ceritanya, Rasulullah صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم menyapa dia depan masjid tadi.

Setelah itu, Uhban terus melafazkan kalimah syahadah dan memeluk agama Islam. Ketika Uhban pulang ke tempat asalnya, serigala tersebut menunggu Uhban di tempat yang sama. Terus Uhban pun ambil seekor daripada kambingnya dan sembelihnya, kemudian hadiahkan kepada serigala itu. Kata Uhban, "Tadi kamu curi kambing saya haram, sekarang saya dah sembelih untuk kamu, sudah halal."

Di dalam Hadith Riwayat Imam Ahmad dan Imam Tarmizi رضي اللَّه عنهم وأرضاهم, Setelah Saidina Abu Bakar As-Siddiq رضي اللَّه عنه وأرضاه mendengar cerita Uhban itu, beliau berkata, Uhban benar demi Allah, tak akan jadi hari Akhirah sehingga binatang-binatang bercakap dengan manusia.

MashaAllah, inilah Dakwah. Siapa yang menyebabkan Uhban untuk berjumpa dengan Rasulullah صلى اللَّه عليه وآله وصحبه وسلَّم? Siapa yang menyampaikan dakwah kepada Uhban? Bukan Da'i, bukan Ustaz. Tapi Makhluk Allah di kalangan haiwan. Kadang-kadang kita tak mampu berdakwah dengan lidah, dakwahlah dengan tangan, dakwah dengan harta, muamalah, akhlak dan sebagainya.

Tapi jangan pula kamu sangka dakwah itu bergantung pada kamu atau ustaz. Kalau ustaz tidak ada, dakwah pun tak jalan. Tak. Kalau ustaz tidak ada, dakwah tetap jalan. Sama ada daripada kamu atau orang lain atau makhluk Allah yang lain. Kita nak ambil saham dan sebahagian daripada kemuliaan itu, kemuliaan Anbiya dan Rasul Allah.

Secara umum Allah سبحانه وتعالى berfirman, berdakwalah kepada jalan Allah. Sebelum ajar orang lain, ajarlah dirimu sendiri, sehingga kamu sendiri beramal dengan apa yang kamu belajar.

Mudah-mudahan إن شاء اللَّه تعالى, kita bahagia dunia Akhirah dengan berkat apa yang kita sampaikan kepada orang lain.

آمين اللَّهم آمين برحمتك يا أرحم الراحمين"

[Sheikh Abdullah bin Muhammad bin Salim Al-Jahaf حفظه اللَّه تعالى]

Cintailah Para Ulama', Pewaris Para Anbiya'

instagram | telegram : @kalam_ulama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...