Khamis, 28 September 2023

NIAT PERNIKAHAN

 ۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞

"Seharusnya niat bernikah adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah سبحانه وتعالى, cinta Allah, kasih sayang Allah, niat agar rumahtangga kami menjadi asbab mendapatkan syurga yang tinggi. Maka, bilamana niat bernikah itu semata-mata kerana Allah سبحانه وتعالى, kita akan perhatikan setiap langkah perjalanan hidup dan aspek kehidupan kita diisi dengan agama dan pengisian kerohanian. Hidupkan hati kita dengan hadir majlis-majlis ilmu, majlis zikir.

Niat bernikah juga untuk mengembirakan hati Rasulullah ﷺ, dan juga untuk membanggakan Rasulullah ﷺ kerana dengan ramainya umat Muhammad diakhirat nanti. Sabda Rasulullah ﷺ; "Hendaklah kamu bernikah dengan seorang wanita yang ramainya adik-beradik atau mempunyai potensi melahirkan anak ramai dan juga bernikah dengan wanita yang penuh dengan kasih sayang."

Sabda Rasulullah ﷺ; "Dan aku bangga dihadapan para Nabi kerana umatku ramai dan aku akan memberi syafaat kepada umatku." Riwayat yang lain, sabda Rasulullah ﷺ; "Aku akan memberi syafaat kepada umatku untuk selamat daripada api neraka dan masuk ke dalam Syurga Allah سبحانه وتعالى."

Sebuah rumahtangga pasti ada ujiannya, kadang-kala naik atau turun, kadang-kala pasang atau surut, maka waktu ujian datang, kita pasangkan jiwa kita yang bertauhid kepada Allah سبحانه وتعالى, cuba hidupkan suasana agama didalam rumah, baca hadith-hadith didalam rumah.

Bayangkan suami baca dan isteri dengar dan apabila isteri yang hamil dengar hadith yang dibaca oleh suami iaitu bakal ayah kepada anak, maka ini semua adalah cahaya dari Allah سبحانه وتعالى untuk anak yang akan dilahirkannya. Maka, hidupkan suasana agama didalam rumah dengan membaca Al-Quran, anak-anak membesar dengan mendengar Al-Quran.

Juga menghidupkan jiwa kita yang bertauhid kepada Allah سبحانه وتعا. Pada zaman ini, apabila datangnya ujian dan berlaku perselisihan faham, pasangan akan berpisah dan sebagainya, kerana tidak dapat berinteraksi dengan baik. Tetapi, jika jiwa kita bertauhidkan Allah, kita akan menerima ujian itu dengan hati yang lapang, tetap mantap dan kuat sandaran kita kepada Allah سبحانه وتعالى.

Maka, hendaklah kita belajar ilmu tentang tauhid agar hati kita sentiasa terikat dengan Allah سبحانه وتعالى, agar dunia ini hanyalah tempat untuk kita mengambil bekalan menuju ke akhirat, dunia adalah sementara, akhirat kekal abadi. Dunia adalah fana, satu hari kita akan meninggalkan dunia ini dan diakhirat nanti kita akan membina mahligai yang sempurna.

Apakah ertinya apabila dikatakan mendirikan rumahtangga adalah membina masjid? didalam masjid ada solat berjemaah, ada majlis ilmu & zikrullah, ada ketenangan & kesatuan hati kerana manusia berkumpul untuk mengingati Allah سبحانه وتعالى. Maka, bina suasana rumah dengan suasana masjid, hidupkan rumahtangga dengan zikrullah.

Suami sentiasa mengingatkan isteri kepada Allah سبحانه وتعالى dengan mengadakan majlis ilmu dan isteri pula menggalakkan suami untuk hadir majlis-majlis ilmu sehingga setiap langkah pernikahan itu, ilmu kita bertambah, ilmu pengenalan kita kepada Allah سبحانه وتع dan Rasulullah  bertambah, ilmu kepada syariat Allah bertambah sehingga bertambahnya redha Allah kepada kita.

Anak yang dikurniakan oleh Allah سبحانه وتعالى adalah amanah kepada kita untuk mengembirakan hati Rasulullah ﷺ. Didalam satu hadith, tiga perkara yang dipesan oleh Rasulullah untuk dididik kepada anak-anak kita ialah, yang pertama Cinta kepada Rasulullah. Yang kedua, Cinta kepada ahlul bait iaitu keluarga Rasulullah ﷺ. Yang ketiga, Cinta kepada Al-Quran Nur Kareem.

Ibu bapa juga perlu cinta kepada Al-Quran sebagai contoh kepada anak-anak. Pepatah Melayu, melentur buluh dari rebungnya dari satu aspek dilihat rebung yang patut dilenturkan, akan tetapi jika dilihat dari aspek yang lebih tinggi, siapa yang hendak melenturkan rebung itu sehingga ia menjadi buluh yang baik.

Rebung pada asalnya tidak akan bertumbuh baik jika yang melenturnya berada di tempat yang kurang baik. Itulah ibu bapa yang akan melentur rebung menjadi buluh yang baik. Maka, bilamana kita sebagai ibu bapa yang mengharapkan ketaatan anak-anak kepada kita. Kita juga perlu taat kepada kedua ibu bapa kita. Kita harapkan ketaatan anak-anak kita kepada Allah, kita sebagai ibu bapa pun perlu taat kepada Allah سبحانه وتعالى. Apabila kita mengharapkan anak-anak kita patuh kepada syariat dan sunnah Rasulullah ﷺ maka, kita juga perlu patuh kepada syariat dan sunnah Rasulullah ﷺ.

Apabila ujian melanda didalam sebuah rumahtangga, hendaklah salah seorang menjadi air untuk menyejukkan, jangan kedua-dua suami isteri jadi api. Suami isteri perlu bertolak-ansur, penuh dengan kasih sayang, mawaddah dan letakkan fokus kepada rumahtangga; "Ya Allah, aku inginkan keredhaanMu. Ya Allah, sepanjang hidup aku bersama pasangan aku, aku berusaha untuk menunaikan hak pasangan aku untuk mendapatkan keredhaanMu, Ya Allah." 

"Dan jika pasanganku belum dapat menunaikan hak aku, aku akan menunaikan haknya terlebih dahulu." Yang lebih baik adalah menunaikan hak, dan demikian yang diajar didalam agama kita. Berbeza dengan ajaran negara barat yang menekankan kepada menuntut hak masing-masing.

Makanya, bila hanya menuntut hak terjadilah perselisihan dan perbalahan. Setiap manusia setiap pasangan apabila lebih memikirkan bagaimana seorang isteri berusaha menunaikan hak suaminya begitu juga dengan suami, mudah-mudahan rumahtangga akan dapat menjadi lebih aman dan harmoni."

[Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari]

Cintailah Para Ulama', Pewaris Para Anbiya'

instagram | telegram : @kalam_ulama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...