Jumaat, 29 September 2023

Keliru hukum gerakkan jari telunjuk ketika tahiyat, agamawan perjelas ada waktu sesuai

 Oleh ENGKU SHARIFUL AZNI

 

TAHIYAT dari segi bahasa bermaksud penghormatan yang meliputi empat penghormatan iaitu, penghormatan kepada ALLAH; lafaz dua kalimah syahadah; salam dan selawat kepada Nabi Muhammad SAW; dan salam kepada orang-orang yang soleh.

Lafaz tersebut dibacakan dalam solat semasa duduk tahiyat awal pada rakaat kedua solat Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak, dan juga semasa tahiyat akhir dalam semua solat fardu.

Posisi duduk tahiyat awal dinamakan sebagai duduk iftirash, iaitu seseorang itu duduk dengan meletakkan punggungnya di atas kaki kirinya, manakala tapak kaki kanan itu ditegakkan oleh jari-jemarinya dan menghadap ke arah kiblat.

Manakala posisi duduk tahiyat akhir pula ialah duduk tawarruk iaitu seseorang itu duduk dalam keadaan tapak kaki kanannya tegak dan jari jemari kanannya menghadap ke arah kiblat, manakala kaki kirinya dilipatkan ke arah kaki kanan dan meletakkan punggungnya di atau lantai.

Bagaimanapun sering kali kita melihat terdapat gerakan jari telunjuk dalam kedua-dua posisi tersebut ketika solat dan terfikir apa sebenarnya tujuan di sebalik perkara tersebut.

Oleh itu, tokoh agamawan yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi satu hantaran dalam laman web Maktabah Al-Bakri memberi penjelasan tentang pertanyaan tersebut.

Beliau memetik riwayat Ibnu Zubair katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا قَعَدَ فِي التَّشَهُّدِ وَضَعَ كَفَّهُ الْيُسْرَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُسْرَى وَأَشَارَ بِالسَّبَّابَةِ لاَ يُجَاوِزُ بَصَرُهُ إِشَارَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila Baginda duduk tasyahhud, Baginda meletakkan telapak tangan kirinya di atas paha kiri, dan Baginda mengisyaratkan dengan telunjuknya (tangan kanan), dan pandangannya tidak melebihi jari telunjuk tersebut.”- Riwayat al-Nasa’ie (1275)

Selain itu, Dr Zulkifli berkata, mengangkat jari telunjuk ketika duduk tasyahhud thabit melalui pelbagai hadis, antaranya ialah melalui Abdullah Umar R.A yang meriwayatkan tatacara Rasulullah SAW solat sewaktu keadaan tasyahhud:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا قَعَدَ يَدْعُو وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُمْنَى وَيَدَهُ الْيُسْرَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُسْرَى وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ السَّبَّابَةِ وَوَضَعَ إِبْهَامَهُ عَلَى إِصْبَعِهِ الْوُسْطَى وَيُلْقِمُ كَفَّهُ الْيُسْرَى رُكْبَتَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila duduk untuk tasyahhud, Baginda meletakkan tapak tangan kanan di atas paha kanan dan tapak tangan kiri di atas paha kiri, sambil mengangkat jari telunjuk dalam keadaan ibu jari diletakkan di atas jari tengah, manakala tapak tangan kiri Baginda pula menutup bahagian lutut.”- Riwayat Muslim (579)

"Imam al-Nawawi berkata, hadis-hadis tersebut menjadi dalil akan sunnahnya hukum mengisyaratkan dengan jari telunjuk ketika tasyahhud, dan menurut mazhab Syaf’ie, ia hendaklah diangkat ketika mengucapkan melafazkan إلا الله sewaktu tasyahhud.

"Ibn Hajar al-Haitami dan Imam Khatib al-Syarbini berkata ketika jari telunjuk diangkat semasa menyebut huruf ‘hamzah’ pada kalimah إلا, hendaklah ia dibengkokkan sedikit dan tidak diluruskan sepenuhnya, selain disunatkan jari tersebut ditunjuk ke arah kiblat beserta niat untuk mentauhidkan ALLAH dan mengikhlaskan diri kepada-Nya," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata, majoriti ulama Syafie berpendapat bahawa makruh menggerakkan jari telunjuk waktu tasyahhud, walaupun ia dibenarkan dalam mazhab Maliki dan Hanbali.

Bagaimanapun, hukumnya sunat mengangkat jari telunjuk ketika mengucap ‘illallah’ dengan sekadar mengangkat tanpa menggerakkan sehingga berdiri untuk tahiyat awal dan sehingga mengucapkan salam dalam tahiyat akhir jika mazhab Syafie.

"Kami berpendapat isu seperti ini adalah masalah khilafiyyah (khilaf) antara mazhab. Justeru, hendaklah kita berlapang dada apabila seseorang mengikut mazhab yang lain daripada mazhab kita," katanya.  Majoriti

https://majoriti.com.my/mukmin/2023/07/09/keliru-hukum-gerakkan-jari-telunjuk-ketika-tahiyat-agamawan-perjelas-ada-waktu-sesuai

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...