Gambar hiasan |
Terdidik Wanita, Terdidik Generasi.
Wanita, muslimah atau perempuan merupakan calon madrasah (sekolah) kepada anak-anak yang bakal dilahirkan kelak. Hakikatnya, mendidik madrasah iaitu para wanita adalah untuk melahirkan madrasah-madrasah baru iaitu anak-anak.
Jika baik madrasah yang dididik itu, maka baiklah madrasah-madrasah yang akan dihasilkan kelak. Betapa di dalam Islam, turut ditekankan tentang kepentingan mendidik wanita dalam usaha melahirkan generasi anak-anak yang baik akhlak dan adabnya serta untuk menjadi penerus kepada perjuangan Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم .
Walaupun dewasa ini telah wujud banyak madrasah-madrasah, sekolah-sekolah mahupun pesantren-pesantren dalam usaha untuk mendidik anak-anak, pada hakikatnya belum dapat menandingi madrasah-madrasah yang ditadbir oleh kedua ibu bapa. Kuasa ibu dan bapa sangat besar impaknya dalam melahirkan generasi-generasi penerus perjuangan Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang kuat rohani dan jasmaninya apatah lagi cerdas fikirannya.
Sayyidatuna Aisyah RA ketika menghuraikan hadis Nabi صلى الله عليه وسلم menyatakan bahawa tiada fitnah yang paling besar melainkan fitnah wanita kepada lelaki. Maka, pada zaman modenisasi yang mana umat manusia disogok dengan pelbagai kemudahan, dilalaikan dengan bermacam-macam-macam hiburan dan budaya-budaya yang entah dari mana datangnya musuh-musuh Islam dengan bijaknya menggunakan wanita sebagai umpan untuk merosakkan umat manusia yang muslim terutamanya. Sedarkah kita? Wanita dipaparkan di media-media, di FB-FB dan sebagainya. Oleh itu, betapa pentingnya mendidik madrasah yakni wanita yang bakal melahirkan madrasah (anak-anak) kelak.
"Terdidiknya wanita akan menyebabkan terdidiknya lelaki. Namun, apabila rosaknya wanita maka rosaklah lelaki kerana isyaratnya adalah untuk baiknya moral seseorang lelaki itu apabila baiknya seseorang wanita itu."
Terdapat banyak kisah-kisah wanita-wanita agung ketika zaman Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang dididik untuk menjadi madrasah yang baik dan hasilnya melahirkan madrasah-madrasah yang baik juga. Betapa madrasah ibu telah terbukti berjaya melahirkan pejuang-pejuang yang hebat di dunia dan akhirat serta tinggi akhlak dan adabnya.
1- Madrasah Ibu ketika zaman Bani Israel (kisah Maryam)
Ibu kepada Maryam berdoa ketika Maryam masih di dalam kandungannya dengan doa ini:
"Ya Allah aku bernazar, janin yang ada di dalam perutku ini, untuk aku jadikan MUHARRAR (untuk berkhidmat) di Baitulmaqdis, maka perkenankanlah nazarku ini wahai Allah."
Walaubagaimanapun, ketika lahirnya Maryam, ibunya tidak dapat menghantarnya ke Baitulmaqdis untuk berkhidmat di sana kerana keadaan pada ketika itu tidak mengizinkan. Namun kerana cita-cita dan kecintaan ibunya yang amat mendalam kepada Allah, ibunya menamakannya dengan nama Maryam yang membawa maksud orang yang berkhidmat kepada Allah dan berharap agar Maryam akan menjadi seperti maksud di sebalik namanya itu.
2- Mardasah Ibu ketika zaman Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم (Sayyidatina Fatimah R.A)
Sayyidatuna Fatimah RA, puteri Rasulullah صلى الله عليه وسلم mendapat jolokan Al-Batul yang bermaksud tidak pernah putus beribadah kepada Allah swt.
Sayyidatuna Fatimah Az-Zahra' dididik oleh kota kepada tarbiyyah iaitu Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Maka atas didikan yang diterima daripada Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم itu beliau telah berjaya melahirkan pejuang-pejuang agama yang hebat iaitu Sayyiduna Hassan dan Sayyiduna Hussain, dua orang cucu kesayangan Rasulullah صلى الله عليه وسلم .
Dikisahkan pada suatu hari Sayyidatuna Fatimah RA pergi menziarahi Rasulullahصلى الله عليه وسلم di rumah Baginda dan bertanyakan kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkenaan apakah yang lebih baik daripada pembantu? Maka dijawabnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Bacalah:
Subhanallah( 33x), Alhamdulillah (33x) dan Allahu Akhbar (34x) (Dinamakan sebagai zikir Fatimah)
Maka ketika pulanq ke rumahnya, Sayyidatuna Fatimah RA berkata kepada suaminya Sayyiduna Ali Kwj.
"Wahai suamiku Ali, sesungguhnya ketika aku berjumpa bapaku, aku menginginkan dunia tetapi aku membawa pulang akhirat untukmu"
Daripada madrasah ibu ini iaitu madrasah Sayyidatuna Fatimah RA lahirnya dua orang putera yakni Sayyiduna Hassan dan Sayyiduna Hussain yang sangat menjaga adabnya terhadap orang yang lebih tua. Bukti ketinggian adab mereka ini dapat dilihat di dalam sebuah kisah yang menceritakan tentang suatu peristiwa ketika mana mereka dapat menegur seorang lelaki tua yang salah cara wudhuknya dengan cara yang sangat berhikmah. Subhanallah Tabarakallah..
3-Madrasah Ibu selepas zaman Rasulullah (Kisah Khalifah Umar Abdul Aziz)
Calon ibunya merupakan merupakan seorang gadis yang jujur dalam berniaga. Ibu kepada ibunya yang menyuruhnya agar ditambahkan air di dalam susu yang dijual mereka. Namun, tidak dilaksanakan olehnya takutkan Tuhannya Khalifah Umar . Khalifah Umar terdengar perbualan mereka itu. Dibuatnya tanda di rumah gadis tersebut untuk datang semula keesokkan harinya untuk meminang si gadis untuk anaknya.
Hasil daripada madrasah ini lahir Khalifah Umar Abdul Aziz yang terkenal dengan kepimpinannya. Seorang gadis yang jujur dalam berniaga, akhirnya dapat melahirkan seorang pemimpin yang hebat.
4-Madrasah Ibu selepas zaman para sahabat ( Kisah Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani)
Ibu Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani menyatakan kepadanya bahawa:
"Wahai anakku aku bernazar, untuk menyerahkanmu (berkhidmat kepada Allah) kepada Allah"
Maka, ibunya meminta Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani ke Baghdad untuk menuntut ilmu. Ibunya membekalkannya wang yang dimasukkan ke dalam kocek yang dijahit ibunya pada bajunya dan menasihatinya agar bercakap benar di dalam apa keadaan sekalipun.
Ketika di dalam perjalanan ke Baghdad, rombongan yang disertainya diserang perompak. Namun, perompak-perompak memperlekehkannya dan menyatakan bahawa beliau hanya budak kecil dan tidak punya apa-apa. Namun, ada seorang perompak dari kalangan perompak-perompak tersebut menghampirinya dan bertanya sama ada beliau ada mempunyai harta untuk diserahkan kepadanya. Maka, jawabnya dengan jujur bahawa dia mempunyai sejumlah wang yang dibekalkan oleh ibunya.
Perompak tersebut bertanya kepada As-Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani sama ada beliau mengenalinya ataupun tidak kerana hairan melihat sikapnya yang terlalu jujur. Maka, jawabnya ya beliau mengenalinya , perompak yang mahu merompak hartanya. Perompak itu bertanya lagi. Jadi jika engkau tahu aku perompak, mengapa engkau tidak hanya memberitahu kepadaku bahawa kamu tidak mempunyai harta. Maka, jawab beliau, sesungguhnya aku berpegang pada pesanan ibuku bahawa bercakap benar di dalam apa keadaan sekalipun. Disebabkan kejujuran As-Syeikh Abdul Qadir, akhirnya perompak itu menyesal dengan segala perbuatannya dan mengembalikan semua harta rompakan kepada pemiliknya. Ditanya kepada Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani kemana destinasinya. Maka, jawabnya ke Baghdad untuk menuntut ilmu. Maka, kata perompak itu, Aku ikutmu. Akhirnya daripada seorang perompak menjadi seorang penuntut ilmu. MasyaAllah.
Madrasah seorang ibu itu adalah amat penting dalam melahirkan anak-anak yang baik akhlak dan adabnya serta benar dalam berkata-kata. Bukankah telah banyak contoh-contoh daripada umat-umat yang terdahulu yang dapat dijadikan panduan di dalam hidup kita? Buat para wanita, berusahalah membuat persediaan untuk menjadi madrasah yang baik untuk anak-anak. Buat para lelaki, jadikan Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم sebagai contoh ikutan di dalam apa jua keadaan kerana Rasulullah صلى الله عليه وسلم contoh ikutan sepanjang zaman. Sollu 'alan Nabiy!
(Hadis riwayat Muslim)
Wallahu'alam
Tausiyah Al-Habib Ali Zeinal Abidin El-Hamid.
Sumber: Artikel iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan