Ahad, 30 September 2012

AQIDAH TAUHID : DALAM NERACA AGAMA-AGAMA SAMAWI DAN HINDU


FILE: Aqidah Tauhid: Dalam Neraca Agama-agama Samawi dan Hindu    
 

Islam merupakan agama yang terakhir. Di dalamnya mengandungi panduan yang paling sempurna dan menyeluruh, dalam membimbing umat manusia. Ia hadir dalam rangka untuk memansuhkan agama-agama samawi terdahulu, dan membetulkan kesalahan-kesalahan yang terkandung dalam ajaran yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t., seperti Yahudi dan Kristianiti, yang pada hakikatnya merupakan suatu himpunan ajaran-ajaran rekaan para agamawan mereka sendiri.

Jesteru itu, Allah s.w.t. menyeru ahlul-kitab, baik dari kalangan Yahudi mahupun Kristian, agar bersama-sama di bawah satu payung samawi yang baru, yang dibawa oleh nabi yang terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w., dalam rangka untuk membetulkan pengabdian dan aqidah mereka terhadap Tuhan Maha Pencipta.

Hadirnya Islam, menyeru ke arah kesatuan aqidah yang murni dan suci, iaitu aqidah Tauhid, di mana, setiap manusia mengakui, Allah s.w.t.-lah satu-satunya Tuhan yang layak disembah, dan Dialah satu-satunya tuhan yang menciptakan dan mentadbir alam ini.

Walaupun agama Kristianiti dengan konsep Triniti-nya (Satu Tuhan dalam Tiga Oknum), dan Yahudi dengan sikap anti-Isa (memusuhi Nabi Isa a.s.) dan sebagainya, maka Islam hadir di tengah-tengah pertembungan dua golongan ini, dalam mengetengahkan satu pelan damai dan satu perpaduan di bawah naugan agama terakhir yang mengandungi kebenaran mutlak dan ajaran-ajaran yang sempurna.

Islamlah satu-satunya agama yang benar lagi membenarkan segala kebenaran. Segala agama selain Islam merupakan kesesatan dan mengandungi pelbagai kesalahan dan penyelewengan, termasuklah dua agama samawi (iaitu Kristianiti dan Judaisme/Yahudi).

Segala ajaran yang diajarkan dalam Islam merupakan suatu ajaran yang benar dan paling baik dan sempurna. Aqidahnya jelas dan menepati hakikat, bahkan turut mendamaikan hati, fitrah nurani dan mententeramkan jiwa.

Pada hakikatnya, kesatuan antara Islam dengan ahlul-kitab (Yahudi dan Kristian) bukanlah suatu yang tidak releven, kerana Islam membawa ajaran Tauhid yang sesuai dengan ajaran agama-agama samawi terdahulu, sebelum diselewengkan oleh para agamawan mereka.

Allah s.w.t. berfirman dalam menyeru kepada konsep aqidah yang sebenar:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam".
(Surah Ali Imran: 64)

Jelaslah bahawasnya, Allah s.w.t. menyatakan bahawasanya, ajaran Tauhid sememangnya terkandung dalam intipati suci seluruh ajaran samawi sebelum Islam, termasuklah dalam ajaran Yahudi dan Kristian.

 Kesatuan Tauhid

 Dalam buku-buku yang menjadi rujukan agama Kristianiti dan Yahudi sendiri, menceritakan tentang konsep Tauhid, iaitu tiada Tuhan yang menciptkan sekalian alam dan layak disembah melainkan Allah s.w.t..
Hal ini seperti yang diriwayatkan dalam buku Torah (menurut Ahlul Kitab kini sebagai Taurat):

 "Shama Israelu Adonai Ila Hayno Adna Ikhad" (dalam bahasa Ibrani), atau: "Hear, O Israel: The Lord our God is one Lord" (dalam bahasa Inggeris) [The Bible, Deuteronomy 6:4]
Maksudnya: "Dengarlah Wahai Bani Israel, Tuhan itu, Tuhan kita, ialah Tuhan yang Maha Esa" (Deutreronomy 6:4)

Kitab Deuteronomy termasuk dalam lima buku terawal buku Bible, yang diterima oleh golongan Yahudi dan Kristian sebagai kitab Torah (Taurat). Jadi, orang-orang Yahudi dan Kristian sepatutnya beriman bahawa Allah s.w.t. yang menciptakan seluruh alam ini Maha Esa, bukan dua, bukan Trinity dan sebagainya.

Dalam Kitab Isaiah ada disebutkan lagi:
"I, even I, am the Lord; and beside me there is no saviour."
[The Bible, Isaiah 43:11] maksudnya, "Aku, hanya Akulah Tuhan, dan di sampingku tiada penyelamat lain (selain daripadaKu)".

Lagi disebutkan dalam kitab yang sama:
 I am Lord, and there is none else, there is no God besides me." Yang bermaksud: "Akulah Tuhan, dan di sana, tiada tuhan yang lain, tiada tuhan di sampingKu" [The Bible, Isaiah 45:5]

 "Thou shalt have no other gods before me. Thou shalt not make unto thee any graven image, or any likeness of anything that is in heaven above, or that is in the earth beneath, or that is in the water under the earth:Thou shalt not bow down thyself to them, nor serve them: for I the Lord thy God am a jealous God."
 Yang bermaksud:

 "Tidak ada tuhan-tuhan sebelumku. Janganlah kalian jadikan bagiKu akan sebarang gambaran, atau menyamakanKu dengan apa yang ada di langit, atau di dunia, atau di dalam laut di bawah bumi: Kamu tidak sepatutnya tundukkan diri kamu (menyembah) kepada makhluk-makhluk tersebut, dan tidak pula sepatutnya kamu menyembah mereka, kerana sesungguhnya, Aku satu-satunya Tuhan, Tuhan kamu, merupakan Tuhan yang cemburu"
[The Bible, Exodus 20:3-5  dan kitab Deuteronomy 5:7-9]

 Nabi Isa a.s. secara khusus mengajarkan konsep Tauhid kepada para pengikutnya seperti yang diriwayatkan dalam buku Mark (Markus) yang berbunyi:
 "Hear, O Israel; The Lord our God is one Lord."
 Yang bermaksud: "Dengarlah wahai Bani Israel: Tuhan itu, Tuhan kita, ialah Tuhan yang Maha Esa"
 [The Bible, Mark 12:29]

Jadi, jelaslah di sini bahawasanya, pengikut agama-agama samawi perlu mengikuti Islam, kerana telah jelas bahasanya, agama Islam mengajarkan kepada mereka, ajaran Tauhid yang diajarkan oleh nabi-nabi mereka terdahulu, sebelum ajaran-ajaran mereka diselewengkan oleh para agamawan dan paderi mereka. Kebenaran jelas berpihak kepada agama Islam, yang merupakan agama terakhir dari Allah s.w.t., yang dibawa oleh nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w..

Ajaran Triniti yang diajarkan di dalam agama Kristianiti hari ini suatu ajaran yang menyeleweng, yang tidak pernah diajarkan oleh Nabi Isa a.s. sendiri. Oleh yang demikian, orang-orang Kristian seharusnya kembali kepada Islam, kembali kepada ajaran Tauhid Nabi Isa a.s. yang diajarkan semula dengan syariat baru yang kekal sehingga hari Kiamat, oleh Nabi Muhammad s.a.w..

Bahkan, orang-orang Islam juga sebenarnya tiada alasan untuk memeluk agama Kristian, setelah jelas, Islamlah yang mengajarkan kebenaran, bukan agama Kristian.!  
                     
 Hinduisme dan Tauhid
Agama Hindu menurut ajaran para sami hindu mempunyai pelbagai fahaman dan kepercayaan yang berbeza-beza. Bahkan, kepercayaan-kepercayaan tersebut saling berlawanan antara satu sama lain. Secara asasnya, kebanyakan pengikut agama Hindu mempercayai tuhan itu ada tiga yang utama, iaitu Shiva, Brahma dan Wishu. Ketiga-tiga tuhan ini mempunyai pasangan isteri. Selain itu, tuhan melantik pelbagai tuhan-tuhan lain sebagai perantaraan antara manusia dengan tuhan-tuhan utama tersebut. Fahaman tiga tuhan utama ini dikenali dengan Trimurti.

Kehadiran Islam menyeru seluruh umat manusia, termasuklah pengikut agama Hindu, untuk memeluk Islam dan beriman dengan aqidah Tauhid. Hal ini kerana, tauhid merupakan aqidah yang benar, dan selain daripada aqidah tauhid merupakan kepercayaan yang sesat.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan juga ialah, tauhid juga telahpun diajarkan di dalam kitab-kitab mereka yang terdahulu. Hal ini membuktikan bahawa, Islam merupakan agama kebenaran dan fahaman agama mereka (Hinduisme) ini merupakan fahaman yang sesat dan diseleweng.

Telah diriwayatkan akan firman Tuhan dalam kitab-kitab mereka berkenaan tauhid adalah seperti berikut:
 "Ekam evadvitiyam" Yang bermaksud: "Dia ialah satu-satunya Tuhan, tiada yang kedua" 
[Chandogya Upanishad 6:2:1]

 "Na casya kascij janita na cadhipah." Yang bermaksud: "BagiNya (Tuhan), tiada seteru mahupun tiada tuhan lain (selain daripadaNya).
 [Svetasvatara Upanishad 6:9].

Jelaslah bahawasanya, Islam merupakan satu-satunya agama yang benar, yang mengajarkan aqidah yang benar dan sempurna, kepada seluruh umat manusia, dalam rangka mengeluarkan mereka daripada kesesatan dan pengabdian yang sesat lagi terpesong.

Bukan Kristianiti, bukan Hiduisme, bukan Judaisme dan bukan agama-agama lain, melainkan Islam yang mengajarkan kebenaran. Hanya Islam satu-satunya agama yang mengandungi ajaran aqidah yang paling tepat dengan naluri insani dan aqidah yang benar tentang Tuhan yang selayaknya disembah.

Tiada alasan untuk para pengikut agama lain seperti Kristian, Yahudi dan Hindu khususnya, dan para pengikut agama-agama yang lain amnya, untuk terus berpegang dengan agama-agama mereka, atas alasan kebenaran, kerana hanya dengan mengikuti Islam dan ajaran-ajarannya, manusia dapat berpegang dengan kebenaran. Hal ini juga dibuktikan oleh buku-buku dan manuskrip kebanyakan agama-agama lain sendiri.

 Ditulis dengan bantuan Allah s.w.t. oleh:
 Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...