Sabtu, 29 September 2012

6 TIPs CAPAI KEREDAAN ALLAH


Rizal Azman Rifin
Gambar hiasan
Apapun yang kita laksanakan dalam kehidupan di dunia ini, seharusnya menuju kepada matlamat memperoleh keredaan Allah. Tidak kira usaha kita sekecil manapun, ia seharusnya menepati jalan dibenarkan agama dan tidak mudah hanyut dan tersasar daripada landasan ditetapkan.

Untuk lebih jelas bagaimana cara kita mampu mencapai keredaan Allah, beberapa panduan dikemukakan Imam at-Tirmizi yang mungkin dapat memberi ruang kepada kita bermuhasabah diri.

Pertama, kita mesti bertaubat kepada Allah. Menurut beliau, tiada jalan sebaik taubat dalam usaha meraih keredaan Allah. Panduan beliau ini memang tepat seperti diperintahkan Allah kepada kita.

Banyak sekali ayat Allah memperkatakan suruhan bertaubat. Antaranya ialah dalam surah al-Baqarah, ayat 222 yang membawa maksud: “Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan membersihkan diri.”

Allah SWT juga berfirman bahawa orang bertaubat adalah insan yang akan mendapat kebahagiaan. “Orang yang bertaubat, yang memuji Allah, yang mengembara, yang rukuk, yang sujud yang menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah mungkar dan memelihara hukum-hukum Allah. Dan bergembiralah orang mukmin itu.” (At-Taubah: 112)

Kedua ialah hidup dalam keadaan zuhud. Menanamkan sifat zuhud menjadi agenda sangat penting kerana tanpanya akan mengakibatkan terbit nilai peribadi keji seperti bersikap tamak terhadap hal keduniaan.

Rasulullah SAW berpesan kepada kita yang zuhud terhadap dunia tidaklah bermakna kita mengharamkan yang halal dan tidak mahu berusaha mencari harta kekayaan, tetapi zuhud yang sebenarnya dan menepati erti makna ialah adanya keyakinan dan berqanaah terhadap apa yang dikurniakan Allah.

Pesanan ketiga at-Tirmizi ialah sentiasa berusaha melawan hawa nafsu. Sesungguhnya orang yang ditenggelami hawa nafsu menjadi ‘lubuk kegemaran’ syaitan kerana orang sedemikian mudah dilalaikan dari menjalani kehidupan berasaskan kepatuhan terhadap perintah Allah.

Petua keempat ialah kita mencintai Allah SWT melebihi dari segala-galanya. Hal ini bertepatan apa dinyatakan Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah. Kalian benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku nescaya kamu akan dicintai Allah.” (Ali-Imran: 31).

Seterusnya kata Imam at-Tirmizi lagi, “Kita hendaklah juga menyerapkan ke dalam jiwa rasa takut kepada Allah SWT. Ini kerana apabila rasa takut itu sebati dalam hati dan jiwa, seseorang akan berusaha melakukan yang terbaik dalam amal ibadah dan memperbanyakkan amalan soleh.”

Pesanan terakhir Imam at-Tirmizi ialah manusia perlu berusaha mendekatkan diri kepada Allah iaitu dengan cara mendirikan solat khasnya yang wajib termasuk sunat.

Sumber : http://epondok.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...