Pemandangan perjalanan ke Madinah |
Ujian ALLAH telah datang. Kali ini kota Madinah benar-benar
dilanda kemarau. Sudah beberapa purnama hujan tidak menitis ke bumi. Binatang
ternak semakin kurus dan tanam-tanaman pula banyak yang rebah menyembah bumi.
Penduduk Madinah mula merasa kesempitan hidup yang bukan
sedikit. Apatah lagi bekalan makanan kian berkurangan. Malah, ada ahli keluarga
yang nyaris-nyaris di ambang kebuluran.
Ketika penderitaan tiada lagi tertahan, mereka datang
mengadu nasib kepada khalifah kesayangan mereka, Saidina Abu Bakar ra.
Sedangkan khalifah ketika itu juga sudah buntu memikirkan nasib yang menimpa
kota Madinah.
“Ya Abu Bakar, tidak adakah jalan keluar untuk kita ini?
Sudah beberapa lama kemarau menimpa bumi kita. Adakah kau tahu bagaimana ingin
mengatasi semua ini? Apakah ada pertolongan yang akan Tuhan berikan kepada
kita?” tanya mereka dengan penuh harapan.
“Sabarlah…sabarlah kamu semua dengan ujian ini. Bertenang
dan baliklah ke rumah masing-masing. Aku mendapat khabar yang Utsman bin Affan
sedang dalam perjalanan ke sini bersama kafilah dagang dari Syam. Esok, dengan
izin ALLAH, dia akan sampai ke Madinah.
Berdoalah agar kedatangannya itu membawa berkah kepada kita semua,” ujar
Saidina Abu Bakar.
Sesungguhnya, janji Saidina Abu Bakar adalah benar. Esoknya,
sebaik matahari menyinar bumi, rombongan kafilah Utsman sudah tiba dengan seribu unta yang membawa
bekalan makanan yang melimpah ruah. Banyak sekali gandum, minyak zaitun, rempah
ratus dan sebagainya yang terus dimuatkan di dalam gudang Utsman.
Penduduk yang mendengar khabar itu merasa lega yang amat
sangat. Tetapi rupanya khabar itu begitu cepat tersebar. Ramai pula pedagang
dan pemborong yang datang terus kepada Utsman. Niat mereka cuma satu, ingin
mendapat keuntungan daripada jual beli dengan Utsman.
“Wahai Utsman, banyak sekali bekalan makanan yang kau bawa.
Bolehkah kau menjualnya pada kami? Kami ingin menjualnya kepada penduduk yang
memerlukan,” tanya salah seorang daripada pedagang itu.
“Benarkah begitu? Dengan senang hati sekali aku terima
tawaran itu. Berapakah keuntungan yang boleh kalian berikan padaku?” tanya
Utsman menduga.
“Dua atau tiga dirham,” jawab mereka.
“Tidak cukup, bolehkah ditambah lagi?” tanya Utsman
memancing lagi.
“Bolehkah kalau lima dirham?” ujar mereka.
“Jumlah itu masih kurang,kamu
berani menambah lagi,” usul Utsman pula.
“Cukuplah Utsman. Di sini tidak ada pedagang lain. Tiada
siapa yang boleh memberi padamu keuntungan yang lebih tinggi selain dari kami.
Adakah kau masih belum puas hati?” tanya mereka yang sudah mula naik angin.
“Beginilah, ALLAH SWT telah memberiku keuntungan sepuluh dirham untuk setiap satu dirham. Apa
kalian berani mempertaruhkan harga sebegitu padaku?” tanya Utsman.
Mereka hanya menggelengkan kepala.
“Jika begitu, saksikanlah dengan nama ALLAH, aku
mensedekahkan semua barang dagangan dan makanan yang kubawa dari Syam ini
kepada seluruh penduduk Madinah yang memerlukan. Ketahuilah, aku sedekahkan ini
kerana ALLAH SWT semata-mata,” akui Utsman tanpa ragu-ragu.
Para pedagang yang berada di hadapannya hanya tertunduk
malu. Mereka tidak layak sama sekali berdepan dengan Utsman yang cukup pemurah.
Siapa lagi yang sanggup mendermakan hasil dagangan yang dibawa satu ribu unta?
Kemudian, keluarlah penduduk Madinah mengambil bahagian
masing-masing. Berakhirlah sudah sengsara mereka sehingga setiap satu keluarga
mendapat bekalan makanan yang secukupnya.
Sesungguhnya, apa yang diinfakkan oleh Utsman pada hari itu
tercatat di dalam sejarah sebagai pengorbanan yang dikenang oleh seluruh
penduduk Islam Madinah.
Mencari
Kebahagiaan Hidup
Tiada ulasan:
Catat Ulasan