Sheikhna Sidi Yusuf Al-Hasani |
Ucapan Sheikhna Sidi Yusuf Al-Hasani Untuk Para Penuntut
Ilmu Sempena Majlis Sambutan Maulidu Rasul di Sahah Turki, Kaherah, Mesir.
Bismillahi Rahmani Rahim Alhamdulillah...Selawat dan Salam
buat Rasulillah s.a.w…
Amma ba'du…
Sesungguhnya, kita berada dalam bulan yang mulia. Saya
hampir-hampir tidak mampu untuk bangkit dari pembaringan, kerana diuji oleh
Allah s.w.t. dengan kesakitan. Namun, dengan izin Allah s.w.t., saya dapat
bangun dari tempat pembaringan, untuk menuju ke majlis ini. Saya gagahkan kaki
untuk melangkah ke majlis ini, kerana saya yakin dan percaya, bahawasanya dalam
majlis selawat kepada Nabi s.a.w. inilah, adanya penawar bagi segala penyakit.
Para ahbab yang dimuliakan…
Sesungguhnya, kita
berhimpun di sini, di bulan yang mubarak ini (bulan Rabi'ul Awal), yang mana,
berserta dengan kita juga, para-para penasyid (yang mendendangkan qasidah
memuji Allah s.w.t. dan Nabi s.a.w.), dan para mursyid yang dimuliakan.
Sesungguhnya, nasyid itu sendiri ialah irsyad (pembimbing). Nasyid-nasyid yang
didendangkan sebentar tadi, jika hilang maknanya, maka tiada nilainya lagi. Ia
akan menjadi satu kelalaian tanpa tujuan (pengabdian kepada Allah s.w.t.).
Sesungguhnya, para mursyid terdahulu, menyusun
qasidah-qasidah dan nasyid ini, sebagai wasilah dalam pengabdian diri kepada
Allah s.w.t., dengan ibadah zauqiyah (dalam bentuk perasaan), untuk
mengeluarkan manusia daripada alam kelalaian kepada alam kehuduran (hadir Allah
s.w.t. dalam hatinya). Mereka ingin mengeluarkan manusia dari alam ghaflah
kepada alam musyahadah zauqiyah (melihat Allah s.w.t. dengan perasaan hati) di
hadrah Allah s.w.t. dan RasulNya s.a.w..
Dalam kesempatan ini, saya ingin berbicara tentang ittiba'
(mengikut sunnah Nabi s.a.w.). Sesungguhnya, kecintaan kepada Nabi s.a.w. tanpa
ittiba' (mengikut perintah dan sunnah Nabi s.a.w.) merupakan satu perkara yang
bid'ah. Bid'ah yang dimaksudkan di sini, bukanlah bid'ah yang sering
diperbincangkan dalam buku-buku ulama' dari sudut takrifnya yang zahir, dalam
bidang fiqh dan sebagainya.
Sesungguhnya, di sisi
AhluLlah, bid'ah ada makna yang lain. Sesungguhnya, bid'ah itu ialah, kamu
tidak mengikut Nabi s.a.w.. Ini kerana, ibtida' (bid'ah) itu sendiri atas wazan
(timbangan) ibti'ad (menjauhi Allah s.w.t.). Jadi, bid'ah itu bermaksud, kamu
menjauhi Allah s.w.t. dengan tidak mengikut Nabi s.a.w..
Kalaulah kita yang hadir ke majlis ini, mengaku mencintai
Nabi s.a.w., mengaku merindui Nabi s.a.w., maka hendaklah kita mengikuti Nabi
s.a.w., kerana jika tidak, kita akan termasuk dari golongan yang sekadar
mendakwa (menipu dalam mendakwa). Jika demikian, terjerumuslah kita dalam
perkataan syair yang berbunyi: "Mereka menyelami lautan kecintaan, tetapi
tidak pernah diuji" dan perkataan syair yang berbunyi: "dakwa
berjela-jela, tetapi amalnya sedikit sahaja".
Wahai Para Ahbab…
Sesungguhnya alam umat Islam pada hari ini,
berdepan dengan pelbagai cabaran. Saya bercakap di sini, di hadapan tuan-tuan
yang merupakan dari kalangan para ulama yang mulia dan para penuntut ilmu yang
disayangi. Ini bukanlah satu perkataan memberi tazkirah dan irsyad, kerana kamu
semualah pada hakikatnya ahli irsyad dan tazkirah itu dan saya tidak layak
untuk bertazkirah di hadapan kamu semua. Apa yang akan saya katakan ialah
tentang risalah dan amanah kita, yang bakal ditanya oleh Allah s.w.t. di hari
Akhirat kelak.
Kamu semua adalah nadi masyarakat. Kamulah (para ulama' dan
penuntut ilmu) merupakan garam bagi umat Islam ini. Jika kita semua (para
ulama' dan penuntut ilmu agama) pun sesat, maka seluruh umat Islam akan turut
sesat. Jika kita membawa risalah petunjuk yang benar ke masyarakat, maka mereka
juga akan berjalan di atas landasan yang benar. Bahkan, kitalah yang akan
dipertanyakan oleh Allah s.w.t. terlebih dahulu, sebelum orang lain.
Ingatlah, seperti dalam syair (matan) Zubad berbunyi:
"Orang alim yang tidak mengamalkan ilmunya, akan terlebih dahulu disiksa
sebelum penyembah berhala."
Jika ditanyakan kepadaku, tentang rahsia ketinggalan umat
Islam ini, maka jawapanku: "Ini kerana, para ulama' mereka terlebih dahulu
telah jauh ketinggalan". Kalaulah para ulama' maju dalam bidang dakwah
mereka, menunaikan hak-hak Allah s.w.t. dalam dakwah mereka, keluar dari
belenggu "kerja" kepada tugas "dakwah" (tidak hidup sekadar
memikirkan soal kerja bergaji semata-mata, tetapi menumpukan perhatian kepada
kerja dakwah terhadap umat Islam dengan ikhlas) dan jujur serta ikhlas dalam
berdakwah, maka keadaan umat Islam kita tidak seperti yang kita saksikan pada
hari ini.
Ingatlah dengan merasa kaya daripada dunia ini (tidak
bergantung harap kepada dunia), pasti dunia ini sendiri yang akan mendatangimu.
Tetapi, jika kamu sendiri yang sibuk mengejar dunia ini, ia pasti akan
meletihkanmu (kerana dunia sentiasa lari darimu).
Kalaulah kita sebagai penuntut ilmu agama, hendaklah kita
tanyakan kepada diri kita, apakah tujuan kita belajar ilmu agama ini? Setiap
orang duduk sejenak bersama dirinya, lalu bertanya semula, tentang matlamat
menuntut ilmu agama itu sendiri.
Adakah matlamat kita daripada belajar ini, tidak lebih dari
sekadar, ingin keluar dari universiti, kemudian mendapatkan kerja untuk
memenuhi perut dengan makan dan minum semata-mata? Kalau demikian, kalaulah
penuntut ilmu agama belajar agama kerana inginkan keduniaan, samalah nilainya
seperti penuntut ilmu duniawi.
Bahkan, penuntut ilmu duniawi kerana keduniaan, lebih baik
daripada penuntut ilmu agama kerana keduniaan, kerana mereka jujur, sememangnya
belajar ilmu dunia untuk mencari kepentingan dunia, sedangkan penuntut ilmu
agama kerana dunia, merupakan golongan hipokrit, yang mencari agama untuk
dunia. Sesungguhnya, penuntut ilmu duniawi tidak memakan dunia dengan agama
mereka, tetapi penuntut ilmu agama, memakan dunia dengan agama mereka! Dari
sinilah timbulnya musibah. Dari sinilah timbulnya bahaya. Oleh yang demikian,
hendaklah kita kembali membetulkan niat dan memperbaiki hubungan kita dengan
Allah s.w.t..
Para sahabat mempunyai kuantiti ilmu yang sedikit berbanding
dengan kita yang hidup di zaman moden dan zaman ledakan maklumat dan IT ini.
Bahkan, mereka juga mempunyai harta, dan teknologi yang sangat sedikit
berbanding dengan apa yang umat Islam hari ini miliki, namun masih gigih dalam
menyebarkan ilmu Islam sedangkan kita, yang hari ini mempunyai pelbagai
alat-alat menuntut ilmu dan pembelajaran namun masih malas dalam menuntut ilmu.
Kemudian, setelah begini keadaan kita, kita masih mengkhayalkan akan
kegemilangan umat Islam?
Ini baru sedikit daripada senario yang berlaku dalam umat
Islam. Masa terlalu sempit untuk membicarakan tentang masalah penuntut ilmu itu
sendiri. Dari sudut perbahasan ilmiah itu sendiri, kita tahu punca ketinggalan
umat Islam ini berpunca dari sifat malas mereka, sifat sambil lewa dan tidak
bersungguh dalam melakukan sesuatu. Kenapa penuntut ilmu lebih bersifat
sedemikian?
Ingatlah pesan Imam
Al-Ghazali yang pernah berkata: "Kami menuntut ilmu bukan kerana Allah,
maka ilmu itu tidak mahu melainkan ianya dituntut kerana Allah s.w.t.".
Di sinilah neraca bagi penuntut ilmu. Sesungguhnya, neraca
ilmu itu sendiri ialah dakwah. Kalaulah kamu tidak melakukan usaha dakwah, maka
ilmu yang kamu miliki merupakan satu simbol kegilaan dalam diri kamu. Imam
Al-Ghazali r.a. sendiri pernah berkata bahawasanya: "Ilmu tanpa amal menunjukkan
seseorang itu gila, sedangkan amal tanpa ilmu maka ia menjadi sia-sia".
Ada dua perkara yang berlaku dalam masyarakat umat Islam,
yang merosakkan institusi dakwah Islam itu sendiri. Pertama: Orang-orang jahil
yang berdakwah. Kedua: Orang-orang 'alim yang tidak berdakwah.
Ada dalam golongan umat Islam ini, ada beberapa
jemaah-semoga Allah s.w.t. membalas jasa mereka-, mencintai umat Islam, lalu
sibuk dengan usaha dan gerakan dakwah. Kalau bukan kerana kecintaan mereka
kepada umat, nescaya mereka tidak akan keluar berdakwah. Akan tetapi, mereka
tidak mementingkan soal menuntut ilmu. Oleh yang demikian, tiada timbangan yang
jelas bagi mereka, sehingga mereka boleh membawa fitnah bagi pihak umat Islam
itu sendiri.
Dari sudut yang lain pula, kita dapati ada orang-orang yang
alim hanya sibuk duduk dalam pejabat, dan memberi ceramah sekadar mana yang
diberi upah, lalu meninggalkan masyarakat dalam kegelapan, dan duduk dalam
rumah berehat sambil menimbunkan harta. Ada yang jadi imam, lalu setelah
selesai, dia meninggalkan masjid dan terus ke rumah, tanpa membuat pengisian
dan dakwah kepada masyarakat. Ini menjatuhkan lagi nilai-nilai para ulama' itu
sendiri. Dengan fenomena yang sedemikian, akibat kecuaian kita sendiri, akhirnya
kita sendiri yang menangis melihat hal umat Islam hari ini cukup membimbangkan?
Mana bukti kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w.? Mana hakikat daripada sabda
Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Sampaikanlah dariku walau satu ayatpun (yang
telah kamu pelajari dariku)"
Persoalan yang paling penting di sini wahai kekasihku
yang mulia, di manakah posisi kita di sekitar peranan dakwah itu?
Apa yang lebih penting dari itu, ketaqwaan kita dalam
berdakwah. Di sana ada golongan manusia, yang ditenggelamkan oleh amal-amal
lalu mereka melupakan Tuhan amalan tersebut. Ada dari kalangan manusia yang
tenggelam dalam dakwah, sehingga menjadi hamba dakwah, bukan hamba Allah!
Mereka jesteru tidak mengajak manusia kepada Allah s.w.t., tetapi sebaliknya
mengajak manusia kepada diri mereka sendiri. Mereka tidak menunjukkan manusia
jalan menuju Allah s.w.t., tetapi sebaliknya menunjukkan jalan menuju diri
mereka sendiri (dan jemaah mereka).
Natijah daripada itu, timbullah sikap ujub seseorang
terhadap pendapatnya sendiri lalu sering menyalahkan pendapat orang lain.
Mereka menjadi hamba kepada diri mereka dan pendapat mereka. Ada hadis yang
berbunyi: "Tiga perkara yang membinasakan: Sifat kedekut, hawa nafsu yang
sentiasa diikuti, dan setiap orang ujub dan ta'asub dengan pendapat mereka
sendiri"
Apa yang saya dapat fahami, punca utama kehancuran umat
Islam adalah daripada masalah-masalah yang disebutkan sebelum ini.
Setiap orang tidak mahu menerima pendapat orang lain.
Sehingga dikatakan: "Sama ada pendapat saya diterima, atau ribut taufan yang
melanda!" "Akulah yang benar dan kebenaran ialah aku!" Mereka mengingkari pendapat orang lain
sedangkan pendapat mereka jauh lebih buruk dan salah dari sudut kebenaran itu
sendiri. Mereka menutup ruang khilaf dan perbezaan pendapat yang positif,
kerana ingin menjadikan agama mengikut selera nafsu mereka, bukan untuk
memperhambakan diri kepada agama, tetapi untuk memperhambakan agama kepada
dirinya sendiri.
Saya bercakap perkara ini di hadapan tuan-tuan, para ulama'
dan penuntut ilmu yang bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t. sebelum manusia
lain. Abaikan apa kata manusia terhadap kita, kerana yang penting apa yang
Tuhan manusia memperkatakan tentang kita. "Lemparkanlah mereka ke dalam
neraka, kerana merekalah yang dipertanggungjawabkan!"
Amalan itu disuruh mengerjakannya bukan kerana amalan itu
sendiri memberi manfaat atau tidak, tetapi sebaliknya, ia merupakan satu simbol
ketaatan kepada Tuhan amalan tersebut. Solat misalnya, tidak pernah disuruh
mengerjakannya kerana solat itu sendiri, kerana itu satu syirik (jika kita
menyangka solat ada memberi manfaat dan mudarat). Kalau kita yakini amalan itu
yang menyebabkan kita masuk syurga, maka ia merupakan satu pegangan yang syirik
(seperti dalam hadis yang berbunyi: "Tiada seseorangpun yang masuk syurga
kerana amalannya"…). Namun, kita
mematuhinya, kita mengerjakannya kerana menunaikan "perintahNya",
bukan kerana amal itu sendiri yang memberi sesuatu kepada kita. Allahlah satu-satunya
yang memberi manfaat dan menolak kemudaratan, sedangkan amalan tidak ada
berperanan sedemikian. Kenapa kita tenggelam di dalam amalan (sibuk melihat
amalan diri dan menisbahkannya kepada diri kita) lalu melupakan Tuhan kita?
Dari satu sudut yang lain, ada golongan yang meninggalkan
umat yang penuh musibah, lalu lari ke kawasan terpencil, dan meninggalkan usaha
dakwah, untuk terus beribadah, tanpa memikirkan masalah umat, sedangkan dia
bertanggungjawab melakukan pemulihan umat Islam dengan dakwah. Mereka inilah
yang dikenali dengan golongan sufi pada dewasa ini, padahal hakikat sufi bukan
sebegitu. Mereka merosakkan imej para sufi yang sebenar. Ini saya perlu katakan
secara jelas, walaupun saya termasuk dari kalangan mereka (golongan pendokong
kesufian) secara nisbah. Hal ini perlu dijelaskan supaya kita tidak menipu
manusia lain.
Ada golongan ini yang meminggirkan diri kerana lari dari
masyarakat, dan berputus-asa dari rahmat Allah s.w.t. ke atas umat Islam itu,
lalu meninggalkan usaha dakwah sedangkan mereka mampu. Makin jauh mereka
bersembunyi, makin tinggi ganjaran yang mereka terima dari pengunjung yang
menziarahinya! Ini satu pendustaan terhadap golongan sufi itu sendiri dan
merosakkan nama baik sufi. Mereka meninggalkan majlis ilmu kerana sibuk menanti
kasyaf dan sebagainya, lalu membiarkan umat Islam semakin dalam kecelaruan.
Maafkan saya kerana terpaksa menjelaskan perkara ini,
kalau-kalau ada yang terasa. Bak kata sya'ir, "Pukulan dari sang kekasih
itu seperti memakan buah kismis" (atau dalam pepatah Melayu: "Sayang
anak, tangan-tangankan…").
Bahkan, mereka (sesetengah golongan
awam dari kalangan sufi) mendakwa, guru mursyid merekalah yang pernah menyuruh
mereka menjauhi umat Islam dan kemelutnya, sedangkan para mursyid yang kamil
tidak pernah menyuruh mereka melakukan hal yang sedemikian, jesteru sebaliknya,
para mursyid merekalah yang menyuruh mereka melakukan usaha dakwah dan islah.
Lalu, mereka meninggalkan amanat yang disuruh oleh guru mursyid mereka sebelum
ini.
Sehinggakan, tasawwuf dan sufi dikenali umum pada hari ini, sebagai satu
kelompok manusia yang boleh dipakai buang. Ia sekadar mewakili satu golongan
yang berhimpun untuk meraikan hari-hari tertentu dengan pelbagai fasyen pakaian
tertentu semata-mata. “Kita merosakkan nama tasawwuf itu sendiri, namun masih
menyangka bahawa kita telah melakukan kebaikan.”
Semua berhimpun di sekeliling
Sheikh, kemudian balik ke rumah dan duduk berehat tanpa mengajak manusia kepada
mengamalkan agama. Lebih malang lagi, ada yang pergi beruzlah untuk menanti
ilmu-ilmu hikmat, kerana merasakan sekarang sudah zaman fitnah dan tidak perlu
bercampur dengan masyarakat lagi. Golongan ini telah mengabaikan konsep
tanggungjawab dalam Islam dan rasa persaudaraan sesama umat Islam, bahkan, jika
penuntut ilmu dan ulama' yang melakukan sedemikian, mereka telahpun mengabaikan
amanah ilmu mereka.
Dari sudut yang lain, terutamanya
dalam masalah menolak pendapat orang lain, saya sendiri merasa hairan, dengan
sikap sebahagian umat Islam. Saya tinggal di Kanada selama 26 tahun untuk
menjaga kebajikan orang-orang Islam di sana (sebagai pengarah Yayasan Islam di
Kanada). Saya dapati, warga Kanada yang majoritinya bukan Islam, namun sifat
toleransi dan keterbukaan mereka cukup tinggi. Mereka mampu berlapang dada
dalam menerima pendapat orang lain, sedangkan kita yang hidup dalam negara
Islam, yang mana Islam mnganjurkan sifat keterbukaan, namun kebanyakkannya
bersikap jumud dan menolak pendapat orang lain dan menyalahkannya. Ini satu perkara
yang bertentangan dalam memahami nas-nas Islam itu sendiri. Ini satu fenomena
yang amat pelik dan bercanggah dengan kefahaman Islam itu sendiri.
Sehinggakan, pengalaman saya
sendiri, bersama dengan seorang ahli ilmu di tempat saya. Beliau tidak mampu
menerima kehadiran saya sendiri. Lalu, saya katakan kepadanya: "Lupakanlah
saya ini dari jemaah mana dan kamu dari kelompok mana. Itu tidak boleh
melahirkan perpecahan, jurang dan permusuhan. Cukuplah kamu menerima saya
paling tidakpun selaku saudara seislamu" Beliau katakan: "Tidak
boleh! Kamu dari kelompok fulan…"
Lalu saya menjawab: "Cukuplah dari perpecahan. Itu perkara khilaf.
Bukankah zaman para sahabat juga ada khilaf, namun mereka masih menerima sesama
mereka atas dasar ukhuwah Islamiah. Adakah kamu lebih baik dari para sahabat
untuk menjadikan khilaf itu punca perpecahan?" Lalu beliau pun senyap.
Inilah yang perlu dijauhi khususnya
oleh para penuntut ilmu, apatah lagi para ulama' yang mulia. Pertanyaan saya
ialah, adakah kemusnahan umat Islam dan keterbelakangannya adalah natijah
daripada kejahilan atau daripada natijah ilmu tanpa taqwa?
Fenomena hari ini
memaparkan bahawasnya, golongan yang memadamkan kesucian Islam bukanlah dari
kalangan orang yang jahil, tetapi dari kelompok golongan ilmuan.
Kejatuhan
ekonomi umat Islam berpunca dari golongan ilmuan. Kejatuhan moral umat Islam
berpunca dari golongan ilmuan Kejatuhan sektor politik umat Islam juga berpunca
dari golongan ilmuan.
Musibah kita hari ini adalah,
lambakan ilmu tetapi kecetekan taqwa dan takut kepada Allah s.w.t.. Masalah
kita bukanlah pada ilmu pengetahuan itu sendiri, kerana sudah wujud pelbagai
institusi pendidikan di negara-negara Islam, malah Al-Azhar merupakan institusi
pendidikan yang tertua di dunia. Orang-orang Islam yang hidup di negara barat
juga antara yang berjaya dalam masyarakat barat itu sendiri.
Oleh yang demikian, kita perlulah
menyerapkan nilai-nilai taqwa dalam ahli ilmu terlebih dahulu, seterusnya dapat
menjadi pemangkin bagi menerap nilai ketaqwaan dalam masyarakat awam Islam
secara umumnya. Inilah manhaj yang diperlukan.
Kita memerlukan satu revolusi baru
dalam manhaj tarbiah umat Islam di abad ke-21 ini. Manhaj tarbiah abad ke-21
sudah tentu tidak sama secara mutlak dengan manhaj tarbiah pada kurun ke -9 dan
kurun ke-10. Beban dan cabaran di abad ini berbeza dengan bebanan dan cabaran
di abad-abad terdahulu. Kalau tiada anjakan dalam metodologi tarbiah dan
dakwah, maka kita (umat Islam) akan menjadi pemimpin dunia ke arah kemunduran
dalam aspek ketamadunan.
Kerosakan umat berpunca daripada
ilmu yang tidak diseiringkan dengan pembentukan akhlak, tarbiah dan ketaqwaan
dalam ahli lmu sendiri. Hal ini berpunca dari pengaruh Sekularisme ilmu
kebendaan yang menghalalkan segala yang membawa kepada keuntungan (falsafah
Pragmatisme). Maka, dari sinilah punca musibah umat dan ahli ilmu itu sendiri.
Hatta, zaman ini, ada orang sanggup
membeli sijil untuk mendapat sesuatu kepentingan duniawi. Bahkan, ada yang
sanggup membeli sijil kelayakan dalam bidang ilmu agama untuk mendapat
keduniaan dengan cara mudah, tanpa mahu belajar. Kalau inilah inilah penuntut
ilmu, maka di mana nilai ilmu itu sendiri?
Sempena bulan yang mulia ini,
hendaklah kita memperbaiki diri agar dapat bersesuaian dengan Nabi s.a.w. dari
sudut perkataan, perbuatan mahupun hal hati. Suka saya akhiri ucapan ini dengan
beberapa fokus penting iaitu:
Pertama: Cintailah kemuliaan
dan maruah kehormatan diri sebagai penuntut ilmu, sebelum mencari ilmu.
Janganlah kamu cemari maruah kamu sebagai ahli ilmu dengan menjual agama untuk
kepentingan dunia. Ia akan meruntuhkan kehormatan diri kamu sebagai ahli ilmu
dan menjatuhkan maruah ilmu itu sendiri.
Kedua: Percayalah bahawasanya,
Allah s.w.t. tidak pernah menciptakan kamu untuk mensia-siakanmu. Ingatlah
kata-kata Sidi Ibn 'Ato'illah: "Dia yang bakal memberikanmu nikmat imdad
(bantuan untuk terus hidup), ialah Dia yang pernah memberikan kepadamu nikmat
ijad (mewujudkan kamu dari tiada kepada ada). Yakinlah kepada Allah s.w.t.
kerana padanya ada kerehatan.
Saya dapati selama ini,
semalas-malas golongan yang menuntut ilmu, adalah golongan yang menuntut ilmu
agama secara umumnya, walaupun tidak semua, tetapi kebanyakkannya.
Suka saya selitkan sebuah kisah
dari pengalaman saya sendiri, sebagai iktibar untuk kita semua, sebelum saya
menutup ucapan saya ini.
Saya pernah menziarahi satu
institusi pengajian di sebuah tempat. Saya ada dua sesi ucapan dan ta'lim dalam
dua fakulti yang berbeza, pada waktu yang berasingan.
Pada mulanya, saya memberi ta'lim
di fakulti kejuruteraan dan fakulti perubatan. Saya dapati, yang hadir dalam
dewan tersebut, melimpah ruah, terlalu ramai, yang mana rata-ratanya adalah
dari kalangan penuntut ilmu kejuruteraan dan perubatan.
Namun, apabila saya menghadiri sesi ucapan dan ta'lim di dewan fakulti syariah, pada waktu yang berbeza, saya dapati tidak sampai satu perempat daripada kawasan dewan itu yang penuh, sedangkan penunut ilmu dalam fakulti tersebut sepatutnya lebih ramai dari fakulti sebelum ini.
Hakikatnya, golongan yang
mempelajari ilmu kejuruteraan dan sebagainya, sanggup datang menghadiri majlis
ilmu agama kerana merasa kekosongan dan jahil mengenai agama, dan berusaha
untuk memahaminya dan seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan mereka. Oleh
yang demikian, maka kehadiran mereka di luar jangkaan. Akhirnya, mereka berjaya
menghimpunkan kedua-dua bidang ilmu, iaitu ilmu duniawi dan ilmu agama sekaligus,
dalam usaha untuk mengamalkan agama itu sendiri.
Adapun golongan yang mengaji ilmu
syariah, maka kebanyakanya sudah merasakan diri mereka mengetahui
segala-galanya berkaitan dengan agama, untuk tidak ingin menghadiri
majlis-majlis ilmu tidak rasmi, kerana merasa cukup apa yang dipelajarinya
dalam bilik kuliah semata-mata. Matlamat mereka hanyalah, ingin lulus periksa
lalu mendapatkan sijil, kemudian setelah konvokesyen, pulang ke kampung dan
mencari kerja, dengan ilmu agama tersebut.
Neraca dan pertimbangan sudah tidak
seimbang, bagaimana kita boleh mengharapkan natijah umat yang gemilang?
Nasihat terakhirku buat penuntut
ilmu, janganlah sesekali kamu semua terjebak kepada budaya berbual dalam
perkara yang sia-sia sering berdebat dalam masalah-masalah khilafiyah yang
membuang waktu kamu sebagai penuntut ilmu.
Isilah masa kamu sebaiknya dengan
menuntut ilmu dan janganlah dibazirkan dengan perdebatan yang tidak pernah
berkesudahan. Ini kerana, amanah kamu untuk menyebarkan agama Islam ini, dan
ilmu-ilmunya. Oleh yang demikian, kumpulkanlah sebanyak mungkin agar kamu dapat
memberi manfaat kepada umat Islam.
Semoga Allah s.w.t. mengembalikan kita kepada petunjukNya,
membantu kita dalam usaha dakwah menujuNya, membaiki kelemahan kita,
mengampunkan dosa keterlanjuran kita, memberi keberkatan kepada kita dan kepada
umat Islam, dengan berkat hari yang mulia ini, dengan bertawassul kepada Nabi
Muhammad s.a.w. agar Allah s.w.t. menghimpunkan kita pada apa-apa yang membawa
kepada keredhaanNya.
Wallahu
a'lam…Wassalamu 'alaikum warahmatuLlah…
Disusun dan Diterjemah dengan bantuan Allah s.w.t. oleh:
Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Qadir
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan