Isnin, 3 September 2012

HUKUM MEMBERI SALAM KEPADA WANITA


Salam merupakan lambang kedamaian dan kesejahteraan dalam Islam. Ianya sangatlah digalakkan. Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w yang mengajurkan supaya salam disebarkan, antara lain sabda baginda yang bermaksud : “Demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaan-nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang sesama kamu. Tidakkah Aku tunjukkan sesuatu yang mana bila kamu melakukannya pasti kamu akan berkasih sayang, iaitu sebarkanlah salam di kalangan kamu.” (Riwayat Muslim)

Allah s.w.t juga berfirman yang bermaksud: “Bila kamu diucapkan salam maka hendaklah kamu jawab dengan lebih baik atau sama sepertinya.” Apa yang dapat difahamkan bahawa arahan ini adalah umum untuk seluruh umat Islam sama ada lelaki atau wanita selama tidak ada dalil lain yang mengkhususkan maksud tadi. Malah terdapat banyak hadith membuktikan bahawa harus dan digalakkan lelaki memberi kepada wanita dan sebaliknya.

Sebagaimana Ummu Hani binti Abi Talib, katanya: “Aku pergi menemui Rasulullah s.a.w pada tahun pembukaan Mekah dan aku lihat Baginda sedang mandi dan aku memberi salam kepadanya , katanya siapa itu, jawabku:  Saya Ummu Hani binti Abu Talib.  Katanya, selamat datang wahai Ummu Hani.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikianlah keadaan dan amalan yang berlaku semasa Rasulullah dan para sahabata mengenai salam antara lelaki terhadap wanita atau sebaliknya. Masing- masing memberi salam antara satu sama lain. Walau bagaimana ia perlu diikuti adab dan peraturannya.Salam itu harus apabila tidak terdapat sebarang fitnah.

Sekiranya ia boleh menimbulkan fitnah maka ianya tidak lagi dibenarkan seperti seorang lelaki yang menemui seorang wanita yang bukan mahramnya di tepi jalan sedang wanita itu gadis remaja pula maka ianya patutlah ditinggalkan melainkan antara kedua sudah ada hubungan yang erat melalui keturunan keluarga dan sebagainya. Lainlah kalau gadis tadi  berada dalam kumpulan wanita yang ramai maka adalah tidak dilarang.

Demikian juga salam guru kepada muridnya dalam bilik darjah / kuliah tidaklah dilarang malah digalakkan sekiranya ianya dapat melahirkan suasana kemesraan antara guru dengan muridnya. Perbuatan itu tidak langsung mendatangkan sebarang fitnah, apalagi  kalau di kalangan murid itu terdapat wanita yang sudah berumur.

Sekiranya ada ditimbulkan persoalan, suara wanita itu sendiri adalah aurat bukan untuk didengari oleh kaum lelaki; ini juga pendapat kumpulan ekstrim yang menganggap suara wanita itu aurat. Pada hal jelas suara tidak ada yang dikira aurat melainkan jika dilunakan untuk menimbulkan keberahian kaum lelaki yang mendengarkan sepertimana firman-Nya bermaksud: “Janganlah mengiurkan (memanjakan) percakapan kamu,nanti akan tertarik hati mereka yang hatinya ada penyakit dan ucaplah perkataan makruf (baik) yang tidak mempesonakan yang mendengarkannya.” (al-Ahzab: 32)
Pada akhir ayat tersebut, membenarkan wanita untuk bercakap dengan baik kepada sesiapa sahaja dan untuk sesiapa sahaja.

Daripada penjelasan di atas dapatlah difahami  bahawa salam adalah harus dan digalakkan selagi tidak mendatangkan fitnah, sedangkan fitnah itu sendiri adalah berdasar dhamir dan suasana setempat.

Susunan ABDUL HADI YAHYA
ummatanwasatan.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...