Sabtu, 15 September 2012

PERSOALAN 84 : ADAKAH IBLIS BERASAL DARIPADA GOLONGAN MALAIKAT?

Gambar hiasan

Iblis dan syaitan adalah makhluk Allah yang berasal daripada api yang panas. Sahabat Abdullah ibnu Abbas berpendapat, iblis adalah daripada suku sakat malaikat, berdasarkan kata-kata Allah yang menyuruh para malaikat sujud kepada Adam, dan iblis termasuk di dalam golongan yang disuruh sujud pada waktu itu. 


Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 34,”Dan ingatlah sewaktu Kami berkata kepada para malaikat,’sujud kamu kepada Adam,’ dan mereka sujud kecuali iblis. Iblis enggan, takbur dan termasuk dalam golongan kafir.”

Pendapat ini disokong oleh Abdullah ibnu Masud, Ibnu Juraij, Ibnu al-Musayyib dan ramai lagi. Mengikut Abdullah ibn Abbas, nama asal iblis dalam bahasa Suryani adarah Azazil dan di dalam bahasa Arab adalah Harith. Azazil ialah ketua malaikat di langit dunia dan ditugaskan bagi menjaga khazanah syurga. walaupun Azazil termasuk di dalam suku sakat malaikat, satu aspek yang membezakannya daripada para malaikat yang lain adalah ia dicipta daripada api sedangkan malaikat yang lain dicipta daripada cahaya.

Apabila Allah menguji kesemua mereka dengan arahan bagi sujud kepada Adam, Azazil mengingkari perintah Allah dan bermula daripada itu, Allah melaknatnya dan menamakannya Iblis. Kalimat iblis bermaksud “yang terputus daripada rahmat Allah.” Hal ini dilaporkan al-Qurtubi dalam al-Jamik Li Ahkamil Quran.

Hasan al-Basri pula berpendapat, “Iblis bukan daripada suku sakat malaikat dan tidak pernah tergolong di dalam kumpulan malaikat malah sebaliknya ia adalah daripada kumpulan jin.”

Pendapat Hasan al-Basri ini disokong oleh sebahagian ulama. Antaranya adalah Abdul Rahman bin zaid  bin Asram dan Syahr bin Hausyab, kerana ia selari dengan kata-kata Allah dalam surah al-Kahf ayat 50, “Dan ingat ketika Kami berkata kepada para malaikat, ‘Sujud kamu kepada Adam’ mereka sujud kecuali iblis. Dia (iblis) daripada golongan jin dan dia menderhaka perintah Tuhannya.”

Berhubung dengan perkara ini, Syeikh Said Hawa berkata di dalam al-Asas fit Tafsir, “Berdasarkan nas, iblis adalah daripada golongan jin, dan ini adalah pendapat yang dipegang oleh Hasan al-Basri dan Qatadah. Hal ini disebabkan iblis seperti golongan jin, dicipta daripada api sedangkan para malaikat dicipta daripada cahaya. Di samping itu, iblis menderhaka kepada Allah sedangkan para maluikat sentiasa taat dan tidak pernah menderhaka kepada Allah.”

Asy-Syahid Syed Qutub di dalam Fi Zilalil Quran pula berkata, “Iblis tidak mungkin tergolong dalam kumpulan malaikat kerana sekiranya dia malaikat, dia tidak akan menderhaka kepada Allah kerana di dalam al-Quran, Allah menyifatkan para malaikat sebagai makhluk yang tidak mengingkari segala perintah Allah dan sentiasa melaksanakan apa yang disuruh.Kandungan ayat 34 di dalam surah al-Baqarah ini menunjukkan, iblis berada bersama-sama para malaikat ketika Allah mengarahkan mereka sujud kepada Adam, namun dia bukan daripada golongan malaikat.”

Berhubung dengan kalimat syaitan, sebahagian ulama bahasa Arab berpandangan, ia berasal daripada kalimat Arab’syathana’ yang bermaksud ‘jauh daripadat rahmat Allah.’ Mengikut sahabat Abdullah bin Abbas,”Syaitan adalah daripada keturunan iblis, dan mereka tidak mati melainkan bersama-sama dengan iblis sewaktu berlaku hari kiamat.” Hal ini dilaporkan dalam Makaidu as-syaitan karangan Taha Abdulllah Afifi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...