Teladan 10 - Umar dan Pemuda yang
Menepati Janjinya
Gambar hiasan |
Ketika Umar
bin Khattab sedang duduk-duduk dengan para sahabat, tiba-tiba dia didatangi dua
orang lelaki dengan seorang pemuda yang terikat kedua belah tangannya.
“Pemuda ini
telah membunuh bapa kami wahai Amirul Mukminin,” kata kedua-dua orang itu.
“Saya harap
kamu mahu mendengar cerita saya dulu wahai Amirul Mukminin,” pemuda yang
terikat tangannya berkata memohon ihsan.
“Cerita
kamu? Huh, Yang penting, kamu telah membunuh bapa kami. Kamu harus bersyukur
kami tidak membalas dendam, sebaliknya membawa kamu kepada Khalifah Umar,” ucap
kedua-dua pemuda tadi dengan marah.
“Adalah
lebih baik untuk kamu berdua diam terlebih dahulu. Aku hendak mendengar cerita
tentang bagaimana kejadian sebenarnya,” kata Khalifah Umar.
Pemuda yang
terikat tangannya itu segera bercerita. “Pada suatu hari, saya menaiki unta
untuk pergi ke satu tempat. Oleh kerana terlalu letih, saya tertidur. Apabila
bangun, saya mendapati unta saya telah hilang, lalu saya segera mencarinya.
Saya mendapati unta itu sedang makan tanaman di sebuah kebun, lalu saya cuba
menghalaunya, tetapi unta itu enggan dan menderum,” dia berhenti seketika.
“Tidak lama
kemudian, datanglah seseorang dan terus melempar batu ke arah unta saya. Oleh
kerana lemparan itu tepat ke arah kepalanya, unta saya mati. Saya menjadi marah
lalu mengambil batu dan melempar semula kearah orang itu. Dengan tidak
disangka, batu itu mengenai kepalanya dan dia juga jatuh tersungkur lalu mati.
Sebenarnya, saya tidak berniat langsung untuk membunuhnya.” Pemuda itu berhenti
bercerita dan wajahnya mengharapkan ihsan daripada Umar.
Setelah Umar
mendengar cerita pemuda tadi, ia berkata, “Kalau begitu hukumannya adalah kamu
dibunuh sebagai balasan (qisas).”
“Saya tidak
menolak hukuman itu, tapi saya mempunyai adik dan ayah saya telah meninggal dunia.
Sebelum meninggal, dia ada meninggalkan harta dan saya menyimpannya di tempat
yang tidak diketahui oleh adik saya,” kata pemuda itu.
“Jadi, apa
yang kamu mahu?” sergah Khalifah Umar.
“Saya minta
tiga hari untuk pulang ke kampung dan memberikan harta itu kepada adik saya,”
jawab si pemuda.
“Siapakah
yang akan menjadi penjaminmu?” tanya Umar lagi.
“Dia ini
penjamin saya,” kata pemuda itu sambil menunjuk ke Abu Dzar Al-Ghiffary yang
ada bersama Khalifah Umar ketika itu.
“Ya saya
bersedia.” Serta merta Abu Dzar mengiyakan kata-kata pemuda itu.
Pada hari
ketiganya, Khalifah Umar, para sahabat dan dua lelaki itu menunggu pemuda tadi.
Sehingga tengahari, pemuda itu belum lagi tiba dan dua lelaki tersebut mulai
gelisah.
“Hari sudah
siang tapi pemuda itu belum datang. Kalau tidak datang, Abu Dzar akan menjadi
penggantinya untuk menerima hukuman bunuh,” kata salah seorang lelaki itu.
Tidak berapa
lama kemudian, pemuda itu sampai. Ternyata dia begitu menepati janjinya biarpun
dia tahu itu bermakna dia nyawanya akan melayang.
“Terima
kasih wahai sahabat yang berani kerana setuju menjadi penjamin saya,” ucap
pemuda itu kepada Abu Dzar. Dia tahu, jika dia tidak datang, nyawa Abu Dzar
akan menjadi penggantinya kerana Abu Dzar adalah penjaminnya, biarpun mereka
tidak kenal mengenali langsung.
Kedua-dua
lelaki itu merasa terharu akan kehadiran pemuda yang mengotakan janjinya itu.
“Kami mohon
untuk menggugurkan tuntutan kami wahai Amirul Mukminin, dan kami maafkan pemuda
al-wafi (penepat janji) ini,” mereka berkata serentak.
“Kamu
sungguh berani wahai Abu Dzar, dan kamu adalah al-wafi wahai pemuda. Dan kamu
berdua adalah sangat mulia. Bersalam-salamlah kalian dan kuatkan ukhuwah di
antara kalian,” kata Khalifah Umar yang gembira melihat peristiwa itu
berlangsung dalam keadaan baik.
norziati@gmail.com
http://kisahseributeladan.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan