Teladan 7
-
Debat Imam Hambali
Gambar hiasan |
Ketika zaman
Imam Ahmad bin Hanbal, terdapat penganut fahaman atheis yang berusaha
mengganggu keimanan umat Islam tentang kewujudan Tuhan. Mereka berjaya
memutarbelitkan fakta berdasarkan kepada perdebatan dan logik yang mereka
lakukan.
Menurut
mereka, alam semesta terjadi melalui proses sendirinya tanpa campur tangan Zat ALLAH. Oleh itu, manusia tidak perlu menyembah Tuhan
yang sebenarnya tidak wujud bagi mereka. Sudah banyak ulama yang berusaha
berdebat dan membetulkan mereka, namun tiada siapa yang mampu mengalahkan
mereka sehingga mereka menjadi bongkak dengan kehebatan tersebut.
Namun, Imam
Ahmad berusaha untuk memberikan tentangan terhadap pendapat mereka dan mahu
membuktikan bahawa pendapat mereka itu adalah salah. Biarpun penampilan Imam
Ahmad tidak menunjukkan bahawa dia seorang ulama yang berilmu, kaum atheis
tetap menerima pelawaan debatnya. Syaratnya ialah, pedebatan ini dilakukan
secara terbuka dan dihadiri oleh orang ramai. Kaum athies setuju lalu
menetapkan masa dan tempat.
Pada hari yang
ditetapkan, Imam Ahmad lewat tiba hingga mengundang cacian dari kumpulan atheis
manakala penonton yang menunggu pula merasa kesal.
“Sabar,
sabar beri aku kesempatan menjelaskan sebab kelewatan ini,” ujarnya tenang.
Walau merasa kesal, kumpulan atheis memberi peluang untuk Imam Ahmad bersuara.
“Begini,
kamu tentu tahu bahawa saya tinggal di luar bandar. Di situ terdapat sebatang
sungai yang cukup lebar. Ketika hendak datang ke sini, saya mendapati tiada
satu pun sampan yang membolehkan saya menyeberang. Itulah sebabnya saya
terlambat datang.”
“Jadi,
bagaimana kamu boleh tiba kalau tiada sebarang sampan?” tanya mereka
kehairanan.
“Ah! Satu
perkara yang ajaib telah berlaku,” kata Imam Ahmad.
“Secara
tiba-tiba sekeping papan hanyut terapung-apung dan dengan sendirinya berhenti
di depan saya. Kemudian disusuli oleh beberapa papan-papan lain yang juga
hanyut lalu semuanya bergabung. Tiba-tiba muncul pula seutas tali. Papan-papan
dan tali membentuk dengan sendirinya menjadi sampan yang elok dan baik. Sampan
kecil itulah yang menyeberangkan saya hingga sampai ke tempat ini dengan
selamat,” ungkapnya panjang lebar.
Kumpulan
atheis itu ketawa terbahak-bahak. “Ah! Mengarut sahaja. Itu mustahil, dan tidak
masuk akal,” kata salah seorang di antara mereka.
Imam Ahmad
menjawab dengan lembut, “Kalau kamu tidak percaya sampan yang kecil itu boleh
terbentuk dengan sendirinya, bagaimana pula dengan alam semesta ini yang besar
dan boleh terjadi dengan sendirinya tanpa kekuasaan ALLAH
SWT?”
Kumpulan
atheis itu terdiam dan bungkam seribu bahasa. Oleh kerana tidak berjaya menemui
jawapan bagi membalas kata-kata Imam Ahmad, mereka pergi begitu saja. Orang
ramai yang hadir merasa amat gembira dengan kata-kata Imam Ahmad yang kelihatan
sederhana tapi amat mendalam hingga kumpulan atheis itu kalah sebelum
bertanding.
norziati@gmail.com
http://kisahseributeladan.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan