KIAMAT MEMANG MENUNGGU KITA
Oleh SITI AINIZA KAMSARI
Gambar hiasan |
PENULIS buku terkenal, Muhammad Alexander Wisnu Sasongko
yang begitu mendalami persoalan hari kiamat dalam sebuah buku karya terbaru
beliau iaitu Armagedon 2012 – Bencana Akhir Zaman yang setebal 558 muka turut
meminta umat Islam tidak tersesat dengan dakwaan 2012 merupakan tahun yang
mengakhiri usia dunia ini.
Beliau mengulas bahawa ramalan bencana besar yang akan
berlaku pada 2012 dan apa juga bentuk ramalan yang seumpama itu adalah bahaya
kepada orang yang tidak memiliki iman yang kuat kerana dikhuatiri mereka akan
mempercayainya.
Di samping itu, ia juga sangat bertentangan dengan akidah
Muslim, kata penulis buku-buku bestseller seperti Yakjuj dan Makjud: Bencana Di
Sebalik Gunung (2010) dan Alexander adalah Zulqarnain (2009) yang meraih jumlah
cetakan melebihi 20,000 naskhah di negara ini.
Walaupun kita tidak pernah menemui para peramal bagi
mendapatkan ramalan-ramalan mengenai bila akan berlakunya kiamat itu, tetapi
jika kita sekadar mempercayai melalui apa yang kita dengar, baca dan lihat juga
dikhuatiri boleh merosakkan iman dan akidah.
Sedangkan Islam telah menegaskan bahawa hukum mempercayai
ramalan terutama dari tukang-tukang ramal adalah haram. Umat Islam sama sekali
ditegah dari mempercayai sebarang ramalan terutama yang tidak bersandarkan
al-Quran dan hadis.
“Sesiapa yang menemui paranormal, dukun ataupun ahli nujum
(ahli astrologi) dan mempercayai apa yang mereka katakan, maka kafir atas apa
yang yang diturunkan kepada Muhammad,”
(riwayat Tirmidzi dan Abu Daud)
Menurut Muhammad Alexander, melalui teks al-Quran dan hadis
telah membuktikan tarikh hari kiamat adalah rahsia Allah.
“Hari kiamat termasuk dalam kategori perkara ghaib yang
hanya diketahui oleh ALLAH Manusia termasuk Nabi Muhammad dan Malaikat Jibrail
pun tidak mengetahui akan tarikh berlakunya kiamat itu,” katanya.
Tetapi ALLAH memberitahu tanda-tanda kiamat. Tanda-tanda
besar sebagai memberitahu Kiamat benar-benar sudah hampir, seperti:
Kemunculan atau keluarnya asap putih yang menyelubungi
seluruh atmosfera bumi,
Kemunculan Dajjal, bermata satu yang bertujuan untuk
menyesatkan manusia termasuk dengan mengaku bahawa dirinya ALLAH.
Turunnya Nabi Isa AS bagi menyelamatkan manusia dari fitnah
dajjal tersebut.
Munculnya juga bangsa
atau kaum Yakjud dan Makjud
Dan apabila matahari tidak lagi terbit dari sebelah timur
tetapi mula terbit dari sebelah barat.
“Sebenarnya kiamat versi Islam juga memang ada menceritakan
tentang gempa bumi yang besar sebagaimana gambaran kejadian yang menjadi
ramalan para peramal barat dan lain-lain individu mengenai berlakunya kiamat
tersebut.
“Ini termasuklah juga bumi yang bergegar, gunung ganang yang
berterbangan dan hancur menjadi debu dan tsunami besar,” katanya.
Ini sebagaimana yang disebut dalam al-Quran:
Apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya dan gunung
ganang dihancur luluhkan sehancur-hancurnya maka jadilah ia debu yang
berterbangan. (al-Waqiah: 4-6)
Dan apabila lautan pecah bercampur baur. (al-Infitar: 3)
Dalam Islam, kiamat kubra (kiamat besar) berakhir dengan
kematian seluruh umat manusia.
“Jadi bagaimana kita boleh percaya bahawa kiamat berlaku
pada 2012 sebagaimana yang diramalkan dan difilemkan jika masih ada manusia
yang terselamat apabila menaiki kapal-kapa laut yang dibina dengan begitu
canggih dan tahan bencana,” kata Muhammad Alexander.
Dengan buku Armagedon 2012 itu, Muhammad Alexander tidak
sahaja menidakkan ramalan kiamat yang kononnya akan berlaku pada 2012 tetapi
kajian beliau mengenai fasa demi fasa berlakunya kiamat itu mengikut al-Quran,
hadis dan bukti dari aspek sains moden yang pada akhirnya pembaca mampu menelah
sendiri akan bila dikatakan kiamat itu akan berlaku.
Sementara seorang lagi penulis Islam terkenal, Adnan Oktar
atau lebih dikenali sebagai Harun Yahya dalam bukunya Hari Akhir dan Imam
Mahadi menjelaskan pelbagai tanda kiamat di dalam al-Quran.
Tambahan penjelasan mengenai hari akhirat dalam kitab-kitab
hadis memungkinkan kita sampai pada sebuah kesimpulan yang penting, iaitu
terdapat dua tahap atau fasa berlakunya kiamat.
Tahap pertama adalah tempoh di mana seluruh manusia
mengalami pelbagai masalah material dan spiritual (kerohanian dan jiwa).
Setelah itu bumi akan memasuki tempoh selamat yang disebut
sebagai masa keemasan yang ditandakan dengan kehidupan yang penuh rahmat dan
berkat serta tegaknya agama Islam yang benar.
Menjelang akhir masa keemasan, akan ada keruntuhan sosial
dalam masa waktu yang singkat. Di saat itulah manusia akan menunggu berlakunya
kiamat dalam erti kata yang sebenar.
Ini sebagaimana yang disebut dalam al-Quran, yang bermaksud:
Maka tidaklah yang mereka tunggu-tunggu melainkan Hari
Kiamat yang datangnya kepada mereka dengan tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah
datang tanda-tandanya. Maka apakah faedah bagi mereka kesedaran mereka itu apabila
Hari Kiamat sudah datang? (Muhammad: 18)
Justeru, Hari Kiamat sememangnya sedang menunggu kita,
sedangkan manusia pada hakikatnya mengetahui ‘bila’ akan berlakunya kiamat itu
dan jika berlaku pada hari ini sekalipun, umat Islam sememangnya telah bersedia
untuk menghadapinya.
Ini kerana kita telah diberikan panduan dan tanda-tanda
berlakunya kiamat. Jadi mengapa kita harus percaya pada ramalan-ramalan dan
khayalan manusia yang ada kepentingan dan perjanjian dengan syaitan itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan