Teladan 25 - Enam Nasihat Ibrahim bin Adham
Gambar hiasan |
Pada suatu
hari, ada seorang lelaki datang bertemu Ibrahim bin
Adham.
“Wahai Abu
Ishak (Ibrahim)! Saya seorang yang banyak berdosa dan zalim. Sudikah kiranya
Tuan mengajar saya supaya menjadi zuhud, agar ALLAH
menerangi jalan hidup saya dan melembutkan hati saya yang keras ini,” lelaki
itu bertanya dan memohon bantuan.
“Kalau kau
dapat memegang teguh ENAM ini, nescaya engkau akan selamat,” jawab Ibrahim.
“Apakah
itu?” tanya lelaki tersebut.
“Pertama,
apabila engkau hendak melakukan maksiat, janganlah engkau memakan rezeki ALLAH,” kata Ibrahim.
“Jika
seluruh penjuru Bumi ini, baik di barat mahupun di timur, di darat mahupun di
laut, di kebun dan gunung-gunung terkandung rezeki dari ALLAH, maka dari mana aku boleh mendapatkan makanan?” balas lelaki
itu.
“Wahai
saudaraku, mahukah engkau memakan rezeki ALLAH
tatkala engkau melanggar peraturan-Nya?” balas Ibrahim.
“Tidak, demi
ALLAH! lalu apa yang kedua?” tanya lelaki itu.
“Kedua, jika
engkau melakukan maksiat kepada ALLAH,
janganlah tinggal di negeri-Nya!” kata Ibrahim.
“Ibrahim,
demi ALLAH yang kedua ini lebih berat. Bukankah
bumi ini milik-Nya? Kalau demikian halnya, di mana aku harus tinggal?” lelaki
itu membalas.
“Patutkah
engkau makan rezeki dan tinggal di bumi-Nya walhal engkau bermaksiat
kepada-Nya?” Ibrahim bertanya.
“Tidak, Tuan
Guru!” jawab lelaki itu.
“Ketiga,
jika engkau hendak melakukan maksiat, janganlah sesekali ingat bahawa ALLAH itu Maha Melihat dan anggaplah bahawa Dia lalai
kepadamu,” kata Ibrahim.
“Tuan Guru,
bagaimana aku boleh berbuat begitu, sedangkan ALLAH
Maha Mengetahui segala rahsia dan melihat setiap hati nurani manusia,” kata
lelaki itu.
“Layakkah
engkau menikmati rezeki-Nya, tinggal di negeri-Nya dan melakukan maksiat
kepada-Nya, sedangkan ALLAH melihat dan
mengawasimu?” tanya Ibrahim.
“Tentu saja
tidak, wahai Tuan Guru. Jadi, apa yang keempat?”
“Yang
keempat, apabila malaikat maut datang hendak mencabut nyawamu, maka katakan
kepadanya ‘tunggulah dulu aku akan bertaubat’,” kata Ibrahim.
“Tuan Guru,
itu tidak mungkin dan malaikat tidak mungkin mengabulkan permintaanku,” lelaki
itu menjawab.
“Engkau tahu
engkau tidak boleh menolak hasrat malaikat maut itu sedangkan dia akan datang
kepada pada bila-bila saja, mungkin sebelum kamu bertaubat,” kata Ibrahim.
“Benar
kata-katamu itu. Sekarang apa yang kelima?”
“Kelima,
apabila datang Munkar dan Nakir kepadamu, lawanlah kedua malaikat itu dengan
seluruh kekuatanmu, bila kau mampu,” kata Ibrahim.
“Itu tak
mungkin, mustahil Tuan Guru!”
“Keenam,
bila esok engkau berada di sisi ALLAH dan Dia
menyuruhmu masuk neraka, katakanlah, ‘Ya ALLAH,
aku tidak bersedia!” kata Ibrahim mengakhiri nasihatnya.
“Wahai Guru!
Cukuplah, cukuplah nasihatmu itu!” jawab lelaki itu dan terus berlalu pergi,
mungkin kerana merasa insaf akan perbuatannya yang lalu.
Norziati binti Mohd Rosman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan