TELADAN 1- Kejujuran Sheikh Abdul Kadir al-Jailani
Sheikh Abdul Kadir Jailani |
Sheikh Abdul
Kadir Jailani pergi ke kota Baghdad dengan tujuan untuk menuntut ilmu. Dia
mengikuti satu kafilah yang akan menuju ke Baghdad dari rumahnya. Sebelum bertolak,
ibunya memberi sedikit wang sebagai belanja pergi dan balik serta sedikit
bekalan makanan. Ibunya menyembunyikan wang itu pada bahagian lengan baju
anaknya dan dijahitnya supaya tidak diketahui orang.
Setelah
siap, ibunya pun berpesan kepada Sheikh Abdul Kadir, “Hai anakku, dengarlah
baik-baik pesan ibu ini. Bila kau dalam perjalanan dan berada di negeri orang,
engkau hendaklah sentiasa bercakap dan berlaku benar. Ketahuilah bahawa orang
Islam tidak boleh berdusta. Hendaklah kau ingat hai anakku akan sabda
Rasul bahawa amanah itu kejayaan. Berlaku benarlah baik dalam tutur kata
mahupun dalam perbuatan supaya engkau beroleh selamat dan dilindungi oleh ALLAH s.w.t.”
Ketika dalam
perjalanan mengikuti kafilah yang pergi ke Baghdad itu, tiba-tiba mereka
diserang oleh satu angkatan penyamun. Segala barang yang dibawa oleh kafilah
tersebut, termasuk barang kepunyaannya turut habis dirompak.
Kemudian,
seorang penyamun bertanya kepada Sheikh Abdul Kadir, “Hai budak! Apa lagi yang
ada pada engkau. Cakaplah benar kepadaku!” bentak penyamun itu dengan suara
yang keras.
“Ya ada! Aku
ada 40 ashrafis” ujar Sheikh Abdul Kadir dengan tegas dan bersahaja.
Penyamun itu
terkejut mendengarkan kata-kata tersebut kerana menyangka budak itu mahu
mempersendakannya. Pada fikirannya tidak mungkin seorang budak boleh
memberitahu kepada seseorang penyamun bahawa dia masih punya wang.
“Apakah
engkau mahu memperolok-oloklan aku?” tanya perompak itu lagi dengan penuh
hairan.
“Tidak!
Sungguh tuan, saya tidak berkata dusta,” sahut Sheikh Abdul Kadir.
“Tuan,
tidakkah tuan tahu bahawa orang yang sedang menuntut atau mengejar ilmu itu
seperti sedang berjalan menuju ke syurga kerana sentiasa disertai oleh malaikat
yang sedia menolongnya. Saya bercita-cita menjadi seorang yang beriman lagi
berilmu. Saya adalah keturunan Rasulullah s.a.w dan saya benci sekali bercakap
bohong. Apalah ertinya wang 40 ashrafis pada saya ini, hingga saya terpaksa
berbohong? Seorang Islam yang sejati tidak akan sesekali berbohong sekalipun
dalam bahaya dan kesulitan!” sambung Sheikh Abdul Kadir dengan penuh semangat.
Kali ini
penyamun itu merasa semakin terkejut mendengar kata-kata itu. Dia merasa hairan
memikirkan sikap budak itu yang secara berani dan tegas memperkatakan yang
benar tanpa berganjak sedikitpun. Dengan perasaan bingung penyamun itu pun
membawa Sheikh Abdul Kadir berjumpa ketuanya.
“Siapa nama
engkau dan dari mana engkau datang?” tanya ketua penyamun.
Sheikh Abdul
Kadir menjawab dengan berani “Nama saya Abdul Kadir dan saya datang dari Jilan”
“Ke mana
engkau hendak pergi?”
“Baghdad,”
jawabnya ringkas.
“Untuk
tujuan apa kau ke sana?”
“Saya hendak
menuntut ilmu.”
“Bagus!
Bagus! Engkau tentu bawa wang bukan?” tanya ketua penyamun
“Benar! Saya
mempunyai 40 ashrafis,” sekali lagi Sheikh Abdul Kadir menjawab dengan penuh
jujur.
Demi
mendangarkan pengakuan Sheikh Abdul Kadir itu, ketua penyamun terkejut lantas
berkata lagi “Apa benarkah apa yang engkau katakan hai budak atau engkau
sengaja hendak memperolok-olokkan aku?”
Maka sambung
Sheikh Abdul Kadir “Benar tuan! Saya tidak suka dan tidak pernah bercakap
bohong kerana saya seorang Islam. Inilah ajaran ibu saya semenjak saya pandai
bercakap lagi. Apalah erti wang 40 ashrafis bagi saya ini hingga saya terpaksa
berbohong. Dan apalah gunanya saya hendak bersusah payah mencari ilmu di tempat
yang jauh kalau untuk menjadi seorang pembohong! Akan sia-sialah segala amal
dan ibadat saya dan akan sia-sialah asuhan dan didikan ibu saya!”
Dengan kuasa
ALLAH s.w.t., ketua penyamun itu menjadi
terpaku sebentar tatkala mendengarkan kata-kata Sheikh Abdul Kadir yang penuh
keimanan dan hikmah itu lantas menjadi malu dan insaf. Akhirnya dengan
bercucuran air mata kesedihan dan keinsafan, ketua perompak itu memohon maaf
dari Sheikh Abdul Kadir lalu bertaubat dari melakukan kerja yang mungkar lagi
hina itu.
Norziati
Mohd Rosman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan