Jumaat, 15 Februari 2013

Teladan 10 - Umar dan Pemuda yang Menepati Janjinya


Teladan 10 - Umar dan Pemuda yang Menepati Janjinya
Gambar hiasan
Ketika Umar bin Khattab sedang duduk-duduk dengan para sahabat, tiba-tiba dia didatangi dua orang lelaki dengan seorang pemuda yang terikat kedua belah tangannya.

“Pemuda ini telah membunuh bapa kami wahai Amirul Mukminin,” kata kedua-dua orang itu.
“Saya harap kamu mahu mendengar cerita saya dulu wahai Amirul Mukminin,” pemuda yang terikat tangannya berkata memohon ihsan.

“Cerita kamu? Huh, Yang penting, kamu telah membunuh bapa kami. Kamu harus bersyukur kami tidak membalas dendam, sebaliknya membawa kamu kepada Khalifah Umar,” ucap kedua-dua pemuda tadi dengan marah.

“Adalah lebih baik untuk kamu berdua diam terlebih dahulu. Aku hendak mendengar cerita tentang bagaimana kejadian sebenarnya,” kata Khalifah Umar.

Pemuda yang terikat tangannya itu segera bercerita. “Pada suatu hari, saya menaiki unta untuk pergi ke satu tempat. Oleh kerana terlalu letih, saya tertidur. Apabila bangun, saya mendapati unta saya telah hilang, lalu saya segera mencarinya. Saya mendapati unta itu sedang makan tanaman di sebuah kebun, lalu saya cuba menghalaunya, tetapi unta itu enggan dan menderum,” dia berhenti seketika.

“Tidak lama kemudian, datanglah seseorang dan terus melempar batu ke arah unta saya. Oleh kerana lemparan itu tepat ke arah kepalanya, unta saya mati. Saya menjadi marah lalu mengambil batu dan melempar semula kearah orang itu. Dengan tidak disangka, batu itu mengenai kepalanya dan dia juga jatuh tersungkur lalu mati. Sebenarnya, saya tidak berniat langsung untuk membunuhnya.” Pemuda itu berhenti bercerita dan wajahnya mengharapkan ihsan daripada Umar.
Setelah Umar mendengar cerita pemuda tadi, ia berkata, “Kalau begitu hukumannya adalah kamu dibunuh sebagai balasan (qisas).”

“Saya tidak menolak hukuman itu, tapi saya mempunyai adik dan ayah saya telah meninggal dunia. Sebelum meninggal, dia ada meninggalkan harta dan saya menyimpannya di tempat yang tidak diketahui oleh adik saya,” kata pemuda itu.

“Jadi, apa yang kamu mahu?” sergah Khalifah Umar.
“Saya minta tiga hari untuk pulang ke kampung dan memberikan harta itu kepada adik saya,” jawab si pemuda.

“Siapakah yang akan menjadi penjaminmu?” tanya Umar lagi.
“Dia ini penjamin saya,” kata pemuda itu sambil menunjuk ke Abu Dzar Al-Ghiffary yang ada bersama Khalifah Umar ketika itu.

“Ya saya bersedia.” Serta merta Abu Dzar mengiyakan kata-kata pemuda itu.
Pada hari ketiganya, Khalifah Umar, para sahabat dan dua lelaki itu menunggu pemuda tadi. Sehingga tengahari, pemuda itu belum lagi tiba dan dua lelaki tersebut mulai gelisah.

“Hari sudah siang tapi pemuda itu belum datang. Kalau tidak datang, Abu Dzar akan menjadi penggantinya untuk menerima hukuman bunuh,” kata salah seorang lelaki itu.

Tidak berapa lama kemudian, pemuda itu sampai. Ternyata dia begitu menepati janjinya biarpun dia tahu itu bermakna dia nyawanya akan melayang.

“Terima kasih wahai sahabat yang berani kerana setuju menjadi penjamin saya,” ucap pemuda itu kepada Abu Dzar. Dia tahu, jika dia tidak datang, nyawa Abu Dzar akan menjadi penggantinya kerana Abu Dzar adalah penjaminnya, biarpun mereka tidak kenal mengenali langsung.

Kedua-dua lelaki itu merasa terharu akan kehadiran pemuda yang mengotakan janjinya itu.
“Kami mohon untuk menggugurkan tuntutan kami wahai Amirul Mukminin, dan kami maafkan pemuda al-wafi (penepat janji) ini,” mereka berkata serentak.

“Kamu sungguh berani wahai Abu Dzar, dan kamu adalah al-wafi wahai pemuda. Dan kamu berdua adalah sangat mulia. Bersalam-salamlah kalian dan kuatkan ukhuwah di antara kalian,” kata Khalifah Umar yang gembira melihat peristiwa itu berlangsung dalam keadaan baik.

norziati@gmail.com
http://kisahseributeladan.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...