Jumaat, 15 Februari 2013

Teladan 7 - Debat Imam Hambali

Teladan 7 - Debat Imam Hambali
Gambar hiasan
Ketika zaman Imam Ahmad bin Hanbal, terdapat penganut fahaman atheis yang berusaha mengganggu keimanan umat Islam tentang kewujudan Tuhan. Mereka berjaya memutarbelitkan fakta berdasarkan kepada perdebatan dan logik yang mereka lakukan.

Menurut mereka, alam semesta terjadi melalui proses sendirinya tanpa campur tangan Zat ALLAH. Oleh itu, manusia tidak perlu menyembah Tuhan yang sebenarnya tidak wujud bagi mereka. Sudah banyak ulama yang berusaha berdebat dan membetulkan mereka, namun tiada siapa yang mampu mengalahkan mereka sehingga mereka menjadi bongkak dengan kehebatan tersebut.

Namun, Imam Ahmad berusaha untuk memberikan tentangan terhadap pendapat mereka dan mahu membuktikan bahawa pendapat mereka itu adalah salah. Biarpun penampilan Imam Ahmad tidak menunjukkan bahawa dia seorang ulama yang berilmu, kaum atheis tetap menerima pelawaan debatnya. Syaratnya ialah, pedebatan ini dilakukan secara terbuka dan dihadiri oleh orang ramai. Kaum athies setuju lalu menetapkan masa dan tempat.

Pada hari yang ditetapkan, Imam Ahmad lewat tiba hingga mengundang cacian dari kumpulan atheis manakala penonton yang menunggu pula merasa kesal.

“Sabar, sabar beri aku kesempatan menjelaskan sebab kelewatan ini,” ujarnya tenang. Walau merasa kesal, kumpulan atheis memberi peluang untuk Imam Ahmad bersuara.

“Begini, kamu tentu tahu bahawa saya tinggal di luar bandar. Di situ terdapat sebatang sungai yang cukup lebar. Ketika hendak datang ke sini, saya mendapati tiada satu pun sampan yang membolehkan saya menyeberang. Itulah sebabnya saya terlambat datang.”

“Jadi, bagaimana kamu boleh tiba kalau tiada sebarang sampan?” tanya mereka kehairanan.
“Ah! Satu perkara yang ajaib telah berlaku,” kata Imam Ahmad.

“Secara tiba-tiba sekeping papan hanyut terapung-apung dan dengan sendirinya berhenti di depan saya. Kemudian disusuli oleh beberapa papan-papan lain yang juga hanyut lalu semuanya bergabung. Tiba-tiba muncul pula seutas tali. Papan-papan dan tali membentuk dengan sendirinya menjadi sampan yang elok dan baik. Sampan kecil itulah yang menyeberangkan saya hingga sampai ke tempat ini dengan selamat,” ungkapnya panjang lebar.

Kumpulan atheis itu ketawa terbahak-bahak. “Ah! Mengarut sahaja. Itu mustahil, dan tidak masuk akal,” kata salah seorang di antara mereka.

Imam Ahmad menjawab dengan lembut, “Kalau kamu tidak percaya sampan yang kecil itu boleh terbentuk dengan sendirinya, bagaimana pula dengan alam semesta ini yang besar dan boleh terjadi dengan sendirinya tanpa kekuasaan ALLAH SWT?”

Kumpulan atheis itu terdiam dan bungkam seribu bahasa. Oleh kerana tidak berjaya menemui jawapan bagi membalas kata-kata Imam Ahmad, mereka pergi begitu saja. Orang ramai yang hadir merasa amat gembira dengan kata-kata Imam Ahmad yang kelihatan sederhana tapi amat mendalam hingga kumpulan atheis itu kalah sebelum bertanding.

norziati@gmail.com
http://kisahseributeladan.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...