Sabtu, 2 Februari 2013

DARI SAMI KEPADA PENDAKWAH ISLAM


DARI SAMI KEPADA PENDAKWAH ISLAM

"Tugas pendakwah sebenarnya menerangkan kemuliaan Islam itu sendiri bukannya mengkritik agama lain."

Demikian nasihat seorang bekas sami yang menceritakan pengalamannya memeluk agama Islam 12 tahun lalu.

Muhammad Sadiq, 50, yang sebelum ini dikenali sebagai Boojya Sri Vanamamalai Rajaguru Partha Sarathy Swamigal berkata, adalah tidak wajar bagi beliau dan mana-mana umat Islam lain mengkritik agama lain kerana tindakan itu sebenarnya boleh mencetuskan kekacauan yang akhirnya mendatangkan ketegangan antara agama.

Sehubungan itu Muhammad Sadiq menjelaskan, sepanjang pengalamannya memberikan dakwah kepada masyarakat, keindahan dan kemuliaan Islam merupakan antara intipati usaha murni untuk menyebarkan Islam kepada seluruh masyarakat.

"Perkara demikian yang dilakukan Rasullullah ketika zaman permulaan penyebaran Islam, malah tindakan itu sendiri menunjukkan bahawa Islam tidak mengajar umatnya untuk menghina kepercayaan lain," ujar beliau.

Muhammad Sadiq mengakui, beliau tidak pernah mengenali Islam sebelum memeluki agama itu.

Katanya, hatinya mula terbuka untuk menerima Islam apabila terdengar suara kalimah syahadah pada satu malam ketika berlangsungnya satu program keagamaan di salah sebuah kawasan di negeri Tamil Nadu, India.

Suara Pelik

Antara pukul 3 hingga 4 pagi, Muhammad Sadiq berkata bahawa beliau terdengar suara pelik kerana perkataan itu tidak pernah didengari sebelum ini sehinggakan menimbulkan tanda tanya berhubung maksud dan tujuan kejadian berkenaan.

"Suara itu menimbulkan tanda tanya sehingga beberapa hari. Lalu saya pergi menemui seorang ulama terkenal negeri Tamil Nadu yang bernama Maulana Ibrahim untuk menceritakan peristiwa malam tersebut.

"Beliau kemudian memberi penerangan selama sejam berkenaan soal agama Islam.

"Selama seminggu, saya memikirkan peristiwa dua kalimah syahadah itu dan penerangan oleh Maulana Ibrahim berkenaan kebenaran agama suci tersebut.

"Ekoran itu, barulah saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam setelah mengakui sepenuh hati kebenaran agama suci tersebut," kata beliau.

Pada saat tersebut menurut Muhammad Saddiq, beliau kehilangan keluarga, rakan-rakan, pengaruh dan segala-galanya selepas memutuskan untuk menganuti agama Islam.

Katanya, tiada apa yang tinggal ketika itu melainkan akidah Islam tersemat dalam sanubarinya.

"Dalam beberapa bulan, Maulana Ibrahim tinggal bersama saya dengan tujuan menerangkan agama tersebut sebelum saya membuat keputusan membina sebuah masjid dan sekolah agama untuk tujuan dakwah.

"Selepas mengenali Islam, baru saya mengetahui bahawa terdapat nama Nabi Muhammad, tanah suci Mekah dan beberapa perkataan berkaitan dengan agama Islam dalam isi kandungan keempat-empat jilid kitab Veda yang dimana tidak diketahui ketika menganut agama Hindu," jelas beliau yang kemudian menjelaskan bahawa Veda adalah kitab suci pada zaman Nabi Nuh.

Sehubungan itu, beliau kini sedang melakukan kajian bersama universiti tempatan di Malaysia dalam usaha mengkaji kaitan antara kitab Veda dengan agama Islam selain mewujudkan rujukan untuk panduan a generasi akan datang.

Sebelum mengakhiri temuramah, Muhammad Saddiq sekali lagi mengingati bahawa tugas pendakwah Islam adalah menyebarkan kesempurnaan ajaran agama yang dibawa Nabi Muhammad kepada seluruh umat manusia. Selebihnya berkenaan soal penerimaan terpulang kepada individu tersendiri memandangkan taufik dan hidayah adalah hak milik ALLAH.

"Oleh demikian, jangan kita mengkritik agama lain dengan tujuan untuk menarik perhatian ke agama Islam kerana itu bukan ajaran agama yang dibawa oleh Rasullullah," ujar beliau selepas sidang akhbar anjuran Madrasah India Muslim Malaysia (MIM) di ibu kota baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SIFAT KEMURAHAN ALLAH

D i antara nama dan sifat Allah SWT adalah “Rahman”, “Rahim”, "Hannan", "Mannan", "Kareem" yang menunjukkan pa...