Sabtu, 16 Februari 2013

Teladan 16 - SURAT UMAR KEPADA SUNGAI NIL

Teladan 16 - SURAT UMAR KEPADA SUNGAI NIL

Sungai Nil
Semasa pemerintahan Umar al-Khattab, empayar Islam telah berkembang pesat bukan setakat Semenanjung Arab. Wilayah Rom dan Parsi juga telah dapat dibebaskan dari kezaliman pemerintah mereka kepada keadilan dan keamanan yang dibawa oleh pemerintahan Islam.

Kisah ini berlaku di Mesir, ketika itu Umar melantik seorang pahlawan Islam yang gagah perkasa iaitu Amru al-As sebagai Gabenor Mesir. Penduduk Mesir ketika itu baru sahaja menganut agama Islam, dan penduduk asalnya berbangsa Qibti. Sesetengah mereka menganut agama Islam dan sesetengah dari mereka masih dengan agama asal nenek-moyang mereka. Oleh kerana tiada paksaan dalam Islam, mereka bebas sama ada mahu menerima Islam atau tidak.

Semasa Amru al-As menjadi Gabenor Mesir, satu peristiwa ganjil dan aneh berlaku. Sungai Nil yang menjadi nadi kehidupan masyarakat kelihatan mulai surut dan tidak melimpah-limpah seperti biasa. Peristiwa ini amat mencemaskan penduduk Mesir.

Sebelum memeluk Islam, sebahagian besar orang Mesir adalah penyembah matahari. Di antara adat mereka semasa jahiliyyah ialah mengorbankan seorang anak dara pada waktu-waktu tertentu sebagai persembahan kepada Dewa Sungai Nil supaya air sungai Nil sentiasa mengalir.

Dalam keadaan cemas, penduduk berjumpa dengan Gabenor Mesir dan mendesak Amru al-As supaya melakukan adat jahiliyyah tersebut bagi mengatasi masalah sungai Nil ini. Walaupun mereka telah memeluk Islam, masih tertanam kepercayaan jahiliyyah yang telah diamalkan turun-temurun. 

Amru al-As keberatan menunaikan permintaan mereka kerana adat ini adalah khurafat dan syirik kerana menyembah selain dari ALLAH SWT. Dia ingin bertanya kepada Umar dan meminta penduduk menagguhkan permintaan itu kerana dia mahu memuaskan hati penduduk Mesir.
Amru menulis sepucuk surat kepada Umar dan menceritakan dengan jelas masalah yang dihadapinya. Dia berharap agar Umar dapat memberikan pandangan bagi menyelesaikan masalah tersebut demi kepentingan rakyat. Apabila Umar menerima surat tersebut, air mukanya berubah kerana marah dengan sikap penduduk Mesir.

“Adat ini terang sekali syirik hukumnya, sudah jelas ia bertentangan dengan ajaran agama kita. Bukankah ALLAH yang sebenarnya patut disembah kerana Dialah Yang Maha Kuasa, Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Demi ALLAH  aku tidak sekali akan membenarkan penduduk Mesir melakuakan adat yang kejam dan bodoh ini,” katanya dengan marah.

Setelah itu, Umar mengambil sehelai kertas dan menulis sepucuk surat sebagai balasan kepada Amru. Beberapa hari kemudian surat tersebut pun sampai. Ketika itu sungai Nil semakin surut dan mulai kering, manakala penduduk bertambah gelisah dan cemas.

Amru sangat gembira lalu membuka surat dari khalifah, alangkah terkejutnya beliau kerana surat itu bukan ditujukan kepadanya sebaliknya kepada sungai Nil. Setelah membacanya, Amru terus mencampakkan surat itu ke dalam sungai Nil. Dengan kuasa ALLAH  setelah surat itu jatuh ke dalam sungai Nil dalam sekelip mata air Sungai Nil mulai naik dan akhirnya melimpah-ruah ke kawasan tanah disekelilingnya. Kejadian yang aneh ini disaksikan sendiri oleh penduduk Mesir. 

Semenjak hari itu iman mereka mula teguh dan mereka tidak mengamalkan adat jahiliyyah tersebut.

Surat Umar al-Khattab itu berbunyi antara lain maksudnya “Surat ini dikirimkan oleh Umar, Amirul Mukminin kepada Sungai Nil, kalaulah air yang mengalir pada tubuhmu itu bukan dari kuasa ALLAH maka kami tidak sekali memerlukan engkau! Tetapi kami percaya ALLAH itu Maha Kuasa dan kepada-Nyalah kami bermohon supaya engkau mengalir seperti sediakala.”

Norziati binti Mohd Rosman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...