Rabu, 20 Februari 2013

Teladan 31 - Nusaibah Serikandi Perang


Teladan 31 - Nusaibah Serikandi Perang
Gambar hiasan
Nusaibah merupakan salah seorang daripada serikandi Islam dan merupakan pejuang Muslimah Islam yang pertama. Dia turut serta dalam Perang Uhud, Perang Hudaibiyyah, Perang Hunain dan Perang Yamamah serta menyaksikan Bait al-Aqabah.

Nusaibah di Perang Uhud
Ketika Perang Uhud, Nusaibah keluar memberi minum kepada pasukan Muslimin yang kehausan dan merawat mereka yang mendapat luka. Apabila tentera Islam menjadi terdesak dan lari dari medan perang, cuma ada seratus orang sahaja yang tetap bertahan dan Nusaibah adalah salah seorang yang menghunuskan pedang serta memakai perisai bagi melindungi Rasulullah dari dikejar musuh.

Kesungguhan Nusaibah melindungu Rasulullah begitu hebat, hinggakan Rasulullah berkata, “Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali melihat Ummu Imarah (Nusaibah) berperang di hadapanku.”

Ketika itu, anaknya Abdullah luka parah ditikam musuh. Dia mengikat luka anaknya lalu berkata, “Bangun wahai anakku.” Anaknya itu terus bangun dan melawan tentera musuh.

Rasulullah yang melihat peristiwa itu merasa terharu. “Wahai Ummu Imarah, siapakah yang mampu berbuat seperti mana yang engkau lakukan?” kata Rasulullah kepadanya.

Ketika tentera musuh yang menikam anaknya itu menghampiri, Rasulullah berkata kepadanya, “Ini dia orang yang telah melukakan anakmu.” Nusaibah menghampiri orang itu dan menikam betisnya dengan pedang.

“Ya, Ummu Imarah! Engkau berjaya membalasnya,” kata Rasulullah sambil tersenyum melihat kesungguhan Nusaibah.

Kemudian, Nusaibah dengan bantuan beberapa tentera Muslimin berjaya membunuh orang itu. Melihatkan keadaan ini, Rasulullah berkata, “Segala puji bagi ALLAH yang telah menenangkanmu dan menggembirakan hatimu daripada musuhmu serta memperlihatkan balas dendammu di hadapanmu.”

Ketika Perang Uhud ini, Nusaibah mengalami luka yang banyak, terutamanya di bahagian bahu. Rasulullah memeriksa lukanya lalu meminta Abdullah, anaknya untuk mengikat luka tersebut sambil berkata, “Semoga ALLAH sentiasa memberkati dan merahmati kamu semua.”

Nusaibah mendengar kata-kata Rasulullah itu. “Ya Rasulullah! Mohonlah kepada ALLAH agar kami boleh menemanimu di syurga nanti,” kata Nusaibah.

Maka Rasulullah pun berdoa, “Ya ALLAH! Jadikalnlah mereka semua ini penemanku di syurga kelak.”

“Aku tidak akan mengeluh setiap musibah yang menimpa diriku di dunia ini,” kata Nusaibah sebagai membalas.

Nusaibah di Perang Yamamah
Perang terakhir yang diikuti oleh Nusaibah ialah Perang Yamamah. Perang ini berlaku ketika pemerintahan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq bagi memerangi orang-orang murtad yang diketuai oleh Musailamah al-Kazzab.

Nusaibah berperang dengan sesungguh hatinya walaupun ketika itu sebelah tangannya telah putus. Ketika tentera Islam berjaya membunuh Musailamah dan para pengikutnya, dia bersujud kepada ALLAH sebagai tanda kesyukuran akan berakhirnya fitnah tersebut.

Nusaibah Punya Karamah.
Nusaibah dikurniakan ALLAH dengan pelbagai kelebihan yang tiada pada orang lain. Ketika Rasulullah mencukur rambutnya di al-Hudaibiyyah, para sahabat berusaha mendapatkan rambut tersebut. Nusaibah mengambil beberapa helai rambut dan air cucian rambut ini digunakan oleh pesakit untuk mandi dan minum. Dengan izin ALLAH, pesakit itu sembuh.

Sebelah tangannya telah putus ditetak musuh semasa Perang Yamamah. Apabila ada orang yang sakit datang menemuinya, Nusaibah akan mengusap si pesakit menggunakan tangannya yang kudung itu sambil berdoa supaya sembuh. Dengan izin ALLAH, pesakit itu sembuh.

Norziati binti Mohd Rosman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...